BADAN Kriket India mengarahkan pemain kriket Hardik Pandya menjelaskan komen seksis yang diungkap olehnya ketika rancangan bual bicara di sebuah stesen televisyen.
Bagaimanapun, Pandya telah meminta maaf atas kenyataannya yang mencetuskan kemarahan masyarakat di media sosial.
Pandya berkata dia “agak terbawa-bawa” ketika mengulas hubungannya dengan kaum wanita dalam program yang disiarkan Ahad lalu.
Pandya dan Lokesh Rahul, yang turut mengambil bahagian dalam temu bual itu diarah untuk menjelaskan komen mereka. Kedua-dua pemain kriket India itu ketika ini berada di Australia.
“Kami telah menghantar notis kepada Hardik Pandya dan K.L. Rahul untuk menjelaskan komen mereka tempohari,” jurucakap Badan Kriket India Vinod Rai dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Press Trust of India.
“Mereka diberi 24 jam untuk memberi penjelasan.”
Arahan itu tampil hanya beberapa jam selepas Pandya yang berusia 25 tahun memohon maaf di media sosial.
“Selepas meneliti semula komen saya sewaktu program Koffee with Karan, saya ingin memohon maaf kepada semua orang yang saya mungkin telah sakiti,” kata Pandya di Twitter.
“Secara jujur, saya agak terbawa-bawa dengan program tersebut, tidak bermakna saya tidak hormat atau menyakiti sentimen orang lain,” katanya.
Program televisyen yang dihos pengarah Bollywood, Karan Johar menggalakkan tetamu untuk membuka kisah peribadi dalam program bual bicara itu.
Pandya, yang menjadi anggota skuad menewaskan Australia buat kali pertama dalam siri pertandingan Test, bangga dengan kejayaannya berhubungan dengan beberapa orang wanita.
“Saya suka menonton dan memerhati bagaimana mereka bergerak,” katanya di samping turut menambah bagaimana beliau memberi perhatian khusus kepada “bahagian belakang” mereka. – AFP, 9 Januari, 2019.
Komen