POLIS Australia sedang menyiasat bungkusan mencurigakan yang dihantar kepada beberapa konsulat asing di Melbourne dan Canberra pada hari Rabu.
Penghantaran bungkusan-bungkusan itu dipercayai dirancang namun ia dihantar secara rambang ke beberapa kawasan konsulat asing.
Dalam tempoh beberapa jam selepas waktu makan tengahari, perkhidmatan kecemasan bergegas menuju ke kawasan-kawasan diplomatik di Melbourne dan ibu negara Australia yang menerima bungkusan yang disyaki mengandungi bahan berbahaya.
Tiada corak jelas mengenai negara-negara yang disasarkan penghantaran bungkusan itu. Ia dihantar ke beberapa konsulat termasuk Amerika Syarikat, China, Itali, India, Jepun dan New Zealand.
Polis berkata bungkusan itu setakat ini tidak mempunyai apa-apa ancaman kepada orang ramai: “Pada masa ini kita percaya perkara itu memang menyasarkan ke tempat tertentu namun ia tidak memberi ancaman kepada orang awam.”
Bungkusan itu dipercayai tidak berbahaya, tetapi polis, kru senjata api dan pasukan forensik digesa menggunakan alat pernafasan ketika mereka memeriksa bungkusan itu untuk ujian lanjut.
Penghuni kebanyakan tempat kejadian termasuk konsulat Spanyol, Switzerland, Mesir dan Pakistan juga turut dikeluarkan dari kawasan tersebut.
“Keadaan sekitar kejadian sedang disiasat.”
Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Britain berkata konsulatnya di Australia menjadi salah satu tempat yang disasarkan, tetapi “semua kakitangan kami selamat dan dan telah diperiksa.”
Konsulat AS di bandar itu berkata ia juga menerima bungkusan “mencurigakan”, namun berjaya ditangani pasukan bomba dan polis. Ia turut menambah pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan mengenai kejadian itu. – AFP, 9 Januari, 2019.
Komen