UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu yakin akan menang selesa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mengambil mudah segala perkara kerana pilihan raya kali ini terlalu sukar untuk dibaca, kata bekas pemimpin parti itu, Syed Hamid Albar.
Pemimpin veteran Johor itu bagaimanapun yakin Johor tidak akan terjejas dalam PRU14 kerana orang Melayu di negeri itu setia pada Umno dan belum dapat membayangkan ada parti lain yang boleh menjaga kepentingan mereka selain Umno.
Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada Umno dan BN supaya lebih berhati-hati menuju pilihan raya umum nanti.
“Semua analisis biasa dalam pilihan raya sudah tidak terpakai lagi. Ada banyak perkara yang boleh berlaku, yang di luar jangkaan kita. Jangan berpuas hati dengan apa yang ada,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Syed Hamid diminta mengulas keyakinan yang disuarakan Timbalan Presiden Pakatan Harapan Muhyiddin Yassin baru-baru ini, BN akan kehilangan Johor kerana rakyatnya “sudah matang” dan bersedia menukar kerajaan negeri.
“Dia dalam pakatan pembangkang, tentulah dia kata begitu. Kalau tidak cakap macam itu, saya kata dia buang masa saja (jadi pembangkang). Saya tak terkejut (dengan kenyataannya).
“Mereka (pembangkang) akan janji bulan dan bintang (sebelum pilihan raya) kerana itulah caranya mereka membina keyakinan. Kalau tak ada keyakinan itu, buang masa saja,” kata Syed Hamid.
Sepanjang wawancara itu, Syed Hamid berkali-kali menyebut pilihan raya akan datang “sengit”, “tidak mudah” dan “sukar dijangka”.
Beliau menjelaskan selepas apa yang berlaku dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang menyaksikan Donald Trump mengalahkan Hillary Clinton yang lebih popular, serta perkembangan serupa dalam pilihan raya di United Kingdom dan Perancis, meramal dan meneka keputusan pilihan raya bukan lagi kerja senang.
“Akan ada banyak kejutan dalam pilihan raya umum nanti. Jangan terlalu yakin,” katanya.
Ditanya kepada siapa secara khusus beliau tujukan peringatan “jangan terlalu yakin” itu, Syed Hamid menjawab: “Mesej ini kepada kerajaan yang memerintah. Ini bukan saya cakap kepada pembangkang.
“Pembangkang tak akan rugi apa-apa kalau mereka kalah. Jadi, BN mesti buat betul-betul. Jangan main bola di padang Dr Mahathir. Dr Mahathir tak akan rugi apa-apa, dapat (sesuatu) lagi ada. Kalau kalah, BN yang akan lebih banyak rugi.”

“Jangan terlalu yakin diri dan rasa tahu semua perkara.”
Ditanya pula apakah beliau merasakan BN sekarang terlalu yakin akan menang PRU14, Syed Hamid berkata: “Saya rasa macam tak berapa (yakin), tapi saya tidak tahu. Nampak BN bekerja lebih kuat. Ada juga dalam kalangan mereka yang beritahu saya pilihan raya kali ini tidak mudah.”
Syed Hamid, 73, mengetuai Umno Bahagian Kota Tinggi selama 20 tahun antara 1993 hingga 2013. Beliau pernah bertanding merebut satu daripada tiga kerusi naib presiden parti tetapi kalah.
Beliau berkhidmat di bawah tiga perdana menteri — Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak — dan pernah memegang jawatan sebagai menteri undang-undang, menteri pertahanan, menteri luar dan menteri dalam negeri.
Beliau jadi ahli Parlimen Kota Tinggi bermula 1990 dan memutuskan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2013. Syed Hamid ketika itu jadi pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), jawatan yang dipegangnya sejak 2010 sehingga tamat tempoh awal Jun lalu.
Jelas Syed Hamid, Umno sudah sebati dalam jiwa orang Melayu di Johor sehingga ada yang menyebut “Melayu itu Umno, Umno itu Melayu.”
Katanya, faktor Muhyiddin semata-mata sebagai anak Johor tidak mungkin menyebabkan orang Melayu meninggalkan Umno dan memilih parti lain kerana sejarah politik orang Melayu tidak begitu.
Syed Hamid menarik perhatian bagaimana orang Melayu Johor tetap menyokong Umno biarpun pemimpin kanan terdiri daripada anak negeri berkriris dengan parti seperti Dato Onn, Hussein Onn dan Musa Hitam.
Malah Syed Hamid menyebut sejarah politik bapanya sendiri, Syed Jaafar Albar yang meletak jawatan setiausaha agung Umno selepas membantah keputusan Tunku Abdul Rahman membenarkan Singapura keluar daripada Malaysia.

“Kalau apa-apa berlaku pada Johor, ia bukan sebab Muhyiddin tetapi lebih daripada itu,” katanya.
Beliau juga menarik perhatian bahawa Umno “sebuah parti yang ajaib” yang mampu bertahan lama biarpun parti-parti lain sepertinya di India, Jepun, Taiwan dan beberapa negara lain, ditolak oleh rakyat.
Ditanya apakah beliau percaya Umno boleh bertahan lebih lama lagi dan tidak mengalami nasib sama seperti parti-parti luar negara yang disebutnya itu, Syed Hamid dengan nada penuh yakin berkata: “Ya, asal saja pemimpinnya sensitif kepada kehendak dan perasaan rakyat.”
Syed Hamid berkata kalau mahu menang PRU14 nanti kerajaan perlu bersungguh-sungguh menangani isu yang menjadi perhatian rakyat seperti pengangguran dan peluang pekerjaan serta kos sara hidup yang meningkat.
“Jangan sapu sampah ke bawah permaidani. Jangan kata rakyat salah, nanti rakyat marah. Rakyat tahu, rakyat merasa. Hidup sekarang ini susah,” katanya.
Syed mengakui biarpun ada orang Melayu penyokong Umno yang kecewa dengan Najib tetapi belum dapat dipastikan apakah kekecewaan mereka itu boleh diterjemahkan jadi undi menolak Umno kerana parti itu masih dekat dengan jiwa orang Melayu. – 27 Ogos, 2017.
Komen