VIETNAM menuduh Facebook melanggar undang-undang keselamatan siber baharu apabila enggan memadam kandungan anti kerajaan dari laman webnya.
Ini merupakan teguran pertama yang dikeluarkan oleh Vietnam sejak undang-undang kontroversi itu dikuatkuasakan mulai 1 Januari.
Undang-undang tersebut mendapat kritikan dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan kumpulan kebebasan laman web. Ia mewajibkan syarikat-syarikat Internet mengeluarkan kandungan anti kerajaan dan menyerahkan data pengguna jika diminta oleh pihak berkuasa.
Syarikat-syarikat Internet juga dikehendaki menjadi tuan rumah pelayan - termasuk bank dan syarikat e-dagang - hingga mencetuskan kebimbangan berlakunya pelanggaran data dan privasi serta ancaman keselamatan siber.
Stesen penyiar Vietnam Television (VTV) hari ini memetik gesaan Kementerian Penerangan dan Komunikasi Vietnam berkata Facebook gagal menurunkan halaman yang didakwa menyeru kepada aktiviti anti kerajaan.
VTV melaporkan beberapa surat dan emel telahpun dihantar oleh kementerian berkenaan.
Bagaimanapun, Facebook bertangguh bahkan tidak membuang maklumat berkenaan, sambil mendakwa kandungannya tidak melanggar piawaian, lapor VTV.
Laporan juga menyebut, kementerian menuduh Facebook membenarkan iklan produk-produk haram termasuk wang plasu, barangan tiruan, senjata dan mercun. – AFP, 9 Januari, 2019.
Komen