Syed Hamid hairan Isa Samad dilantik ketuai SPAD


Noor Azam Shairi Low Han Shaun

Syed Hamid Albar berpendapat sebagai sebuah badan kawal selia, SPAD tidak harus terpalit dengan kontroversi yang boleh menjejaskan reputasi dan kredibilitinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Ogos, 2017.

SYED Hamid Albar hairan dengan pemilihan Isa Samad sebagai penggantinya mempengerusikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana ia menambah beban pada kerajaan untuk menjelaskan pelantikan bekas pengerusi Felda dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang kontroversi itu.

“Kekhuatiran dan kehairanan saya dijawab apabila pelantikan itu jadi kontroversi, apabila orang ramai, persatuan dan banyak pihak mempersoalkannya,” kata Syed Hamid kepada The Malaysian Insight, lebih kurang dua minggu genap 100 hari beliau meninggalkan SPAD.

“Saya hairan apabila pelantikan itu diumumkan, kerajaan pula kena jawab hal-hal yang (melibatkan Isa) sebelum ini.”

Pelantikan Isa, yang dikaitkan dengan pelbagai masalah dalam Felda, ke SPAD dikritik antaranya oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar (PAS).

“Saya hairan (kenapa Isa) sebab ada banyak nama yang saya dengar untuk menggantikan saya,” tambahnya, tetapi enggan mendedahkan nama-nama berkenaan.

Syed Hamid bagaimanapun cepat menjelaskan pelantikan Isa itu adalah hak Perdana Menteri Najib Razak tanpa perlu berbincang dengan sesiapa termasuk dirinya sendiri.

Bagaimanapun Syed Hamid berpendapat sebagai sebuah badan kawal selia, SPAD tidak harus terpalit dengan kontroversi yang boleh menjejaskan reputasi dan kredibilitinya baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

“Siapa pun yang hendak mengambil tempat itu, bukan soal kelayakan saja, soal reputasi mustahak kerana (SPAD) ini sebuah badan kawal selia, sama seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti biarpun bidang kuasanya berbeza,” katanya yang tujuh tahun jadi pengerusi SPAD.

Isa dinamakan sebagai pemangku pengerusi SPAD pada 19 Jun lepas, dua minggu selepas Syed Hamid meninggalkan pejabat. Pelantikan Isa itu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu “perpindahan” kerana ia diumumkan serentak dengan perletakan jawatannya sebagai pengerusi FGV.

Isa ditahan SPRM pada 19 Jun lalu untuk membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan di Kuching, Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2017.

Perletakan jawatan Isa menamatkan krisis kepimpinan dalam FGV selepas beliau sebelum itu menggantung tugas bekas ketua pegawai eksekutifnya, Zakaria Arshad dan tiga pegawai kanan lain dengan arahan supaya ‘bercuti’ berhubung dakwaan melanggar peraturan tadbir urus korporat. Tempat Isa di FGV dipangku oleh Sulaiman Mahbob.

Ditanya tanggapannya terhadap Isa, Syed Hamid yang mengakui “Isa kawan saya”, enggan mengulas.

“Saya tidak mahu menilai pengganti saya. Bukan saya nak nilai orang lain. Apa saja keputusan yang dibuat oleh kerajaan, saya percaya ia tentulah dibuat dengan bijaksana dan mengambil kira pelbagai maklumat,” katanya, dan menyifatkan Isa sebagai “pemimpin akar umbi”.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 Ogos lalu menahan Isa untuk membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan di Kuching, Sarawak. Isa ditahan reman selama 5 hari sebelum dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin RM150,000 setelah agensi anti rasuah itu tidak memohon lanjutan reman.

Dalam pada itu, Syed Hamid mendedahkan sehingga kini masih belum ada majlis serah tugas secara rasmi kepada Isa kerana pelantikan Isa hanya dibuat selepas beliau meninggalkan SPAD.

“Saya cuma jumpa beliau apabila bekas kakitangan dan anggota suruhanjaya buat jamuan perpisahan. Saya tinggalkan SPAD pun tidak ada majlis perpisahan rasmi, tidak ada ucapan perpisahan kepada kakitangan.

“Saya tidak biasa apabila tidak ada serah tugas ini,” katanya, walaupun mengakui hal itu bukanlah satu keperluan sebaliknya amalan biasa setiap kali ada peralihan tugas baik di kementerian atau mana-mana jabatan dan agensi kerajaan.

Jelas Syed Hamid, beliau menerima surat daripada Perdana Menteri Najib Razak yang mengesahkan jawatannya tidak disambung hanya pada petang selepas solat Jumaat pada 2 Jun lalu, sehari sebelum tarikh tempoh jawatannya tamat.

“Esoknya dah Sabtu. Staff pun saya tak sempat jumpa untuk farewell,” katanya.

Menurut Syed Hamid, beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri “seminggu atau dua minggu” sebelum tempoh jawatannya berakhir supaya menamakan penggantinya dan serahan tugas serta majlis perpisahan boleh diatur.

“Ini nampak macam saya melarikan diri pula,” katanya ketawa.

Syed Hamid juga mengatakan beliau tidak bertemu dengan Najib sejak meninggalkan SPAD dan memahami kesibukan tugas perdana menteri.

Ditanya apakah yang hendak beliau katakan kepada Isa, memandangkan tiada majlis serah tugas, Syed Hamid berkata beliau tidak mahu memberi apa-apa nasihat atau pesan sekiranya tidak diminta.

“Saya tak mahu nampak memandai-mandai,” katanya.

Mengulas tempoh tujuh tahun mempengerusikan SPAD, Syed Hamid berkata beliau puas hati sudah melakukan sesuatu dan meninggalkan keadaan pengangkutan awam yang lebih baik berbanding semasa beliau mula-mula memegang jawatan.

Beliau merasakan selepas tujuh tahun itu dirinya kini sinonim dengan pengangkutan awam darat sehinggakan sekarang ini, kalau ke mana-mana, ada saja orang mengadu hal tentang hal-hal berkaitan teksi, bas, LRT dan sebagainya.

“Tekanan tujuh tahun di SPAD itu lebih berat daripada lebih kurang 20 tahun saya jadi menteri,” katanya, yang pernah jadi menteri kabinet di bawah tiga perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

Syed Hamid juga mengatakan sepanjang dua bulan selepas tidak lagi bersama SPAD beliau masih lagi menerima jemputan untuk bercakap mengenai pengangkutan awam termasuk dari luar negara, selain jemputan untuk berkongsi pandangan tentang politik dan hal ehwal antarabangsa.

“Saya rasa selepas tujuh tahun saya sudah jadi pakar pengangkutan awam,” katanya sambil ketawa, dan menambah masanya sekarang lebih sibuk berbanding sewaktu ada jawatan.  – 27 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen