Jerung dikesan, 2 pantai popular Australia ditutup


Pantai Tamara dan Bringhton Le Sands ditutup kepada awam selepas jerung dikesan mendatangkan bahaya kepada pengunjung. – Gambar EPA, 9 Januari, 2019.

DUA pantai yang popular di Australia telah ditutup buat sementara waktu pada Selasa selepas ikan jerung dilihat di kawasan berhampiran, dengan seekor daripadanya berada dalam jarak beberapa meter sahaja dari pantai, yang sepatutnya adalah kawasan bebas jerung.

Agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa penduduk tempatan di pantai Brighton Le Sands di Sydney ternampak seekor ikan jerung sepanjang tiga meter berlegar-legar sekitar kawasan berjaring yang bertujuan memisahkan orang yang mandi-manda dengan hidupan liar. 

Kanak-kanak dilihat berenang di situ tidak lama sebelum amaran dikeluarkan dan berjaya meninggalkan kawasan itu tanpa sebarang kecederaan manakala polis bertindak menutup pantai tersebut serta menghantar isyarat amaran.

Terdahulu, pada hari yang sama, seekor jerung putih besar sepanjang empat meter telah dilihat di pantai Tamara oleh dron yang menggunakan teknologi baharu dan direka bagi mengesan serta memantau haiwan itu.

Pihak berkuasa berkata haiwan pemangsa itu sedang mengejar seekor anjing laut yang membawanya ke arah kawasan pantai.

Lokasi berenang popular di Sydney, terletak sekitar tanjung tinggi berhampiran Pantai Bondi yang terkenal di seluruh dunia, telah ditutup buat sementara waktu sehingga jerung terbabit diusir ke laut oleh penyelamat. – Bernama, 9 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen