Rakhine Myanmar bergolak lagi, lebih 4,500 orang terusir


Pertempuran meletus semula di negeri Rakhine pada awal Disember antara tentera kerajaan dan Tentera Arakan, yang menuntut autonomi lebih besar bagi Rakhine, di mana penduduk majoritinya terdiri daripada penganut agama Buddha. – Gambar EPA, 9 Januari, 2019.

LEBIH 4,500 penduduk kampung telah tersingkir susulan pertempuran yang meletus baru-baru ini antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan di negeri Rakhine, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu memetik kenyataan jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa. 

Angka itu, yang diberikan oleh Farhan Haq, adalah setakat 7 Januari. 

Haq berkata pergerakan tentera dan pertempuran telah berlanjutan sejak beberapa hari lepas susulan serangan oleh kumpulan pemberontak ke atas balai polis di Perbandaran Buthidaung pada 4 Januari. 

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan telah mengetuai misi dari 29 hingga 31 Disember ke Kampung Taung Min Kalar dan Kampung Kan Sauk di perbandaran Kyauktaw serta Kampung Auk Thin Pone Tan dan Kampung Hpar Kywe Wa di perbandaran Ponnagyun, yang ketika itu menjadi hos kepada sejumlah 1,600 orang tersingkir. 

Pertempuran meletus semula di negeri Rakhine pada awal Disember antara tentera kerajaan dan Tentera Arakan, yang menuntut autonomi lebih besar bagi Rakhine, di mana penduduk majoritinya terdiri daripada penganut agama Buddha.

Tentera Arakan tidak menjadikan alasan agama sebagai faktor pemberontakannya. – Bernama, 9 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen