Rundingan dagangan AS-China masuk hari ketiga


Lawatan delegasi AS yang diketuai oleh Timbalan Wakil Perwakilan Perdagangan Jeffrey Gerrish itu sepatutnya berakhir semalam. – Gambar AFP, 9 Januari, 2019.

RUNDINGAN antara Amerika Syarikat (AS) dan China mengenai perang perdagangan masuk hari ketiga hari ini.

Presiden AS Donald Trump menyatakan rasa gembira dengan rundingan yang disifatkannya berjalan dengan baik.

Delegasi AS berada di Beijing sejak Isnin untuk mengadakan rundingan dengan China sejak Trump dan Presiden Xi Jinping bersetuju kepada gencatan sementara selama tiga bulan pada 1 Disember.

Pasaran Asia optimis kedua-dua negara itu akan berjaya mencapai kata sepakat menjelang akhir Mac dan mengelakkan kenaikan lebih banyak tarif import.

“Rundingan dengan China berjalan dengan sangat baik!” tulis Trump di Twitter sebaik rundingan itu masuk hari kedua semalam.

Lawatan delegasi AS yang diketuai oleh Timbalan Wakil Perwakilan Perdagangan Jeffrey Gerrish itu sepatutnya berakhir semalam.

Tetapi sumber kerajaan AS memberitahu rundingan akan bersambung hari ini tanpa memberi butiran lanjut. – AFP, 9 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen