Hakim Mahkamah Agung Mexico potong gaji


Semua hakim Mahkamah Agung Mexico akan memotong 25% daripada gaji masing-masing susulan kritikan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador (gambar) bahawa gaji mereka terlalu mahal. – Gambar EPA, 9 Januari, 2019.

SEMUA hakim Mahkamah Agung Mexico akan memotong 25% daripada gaji masing-masing susulan kritikan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador bahawa gaji mereka terlalu mahal.

“Sebagai langkah untuk memastikan sumber awam dibelanjakan dengan rasional, Mahkamah Agung telah bersetuju untuk mengurangkan gaji hakim sebanyak 25%,” menurut kenyataan mahkamah pada Selasa.

Gaji hakim dikaji semula selepas Lopez Obrador secara terbuka mengkritik mereka bermewah.

Ini kerana beliau sendiri, telah memotong gaji sebanyak 60% kepada kira-kira AS$5,500 sebulan.

Presiden yang menang pada pilihan raya pada bulan lepas itu juga menerusi Kongres mengusulkan undang-undang yang akan menetapkan jumlah itu sebagai gaji maksimum bagi semua penjawat awam. Namun, Mahkamah Agung menolak atas alasan ia melanggar hak pekerja.

Gaji kasar bagi hakim Mahkamah Agung pada tahun lepas ialah sekitar 578,000 peso (AS$29,900) sebulan.

Keputusan untuk memotong gaji hakim dibuat demi “kecekapan, penjimatan, ketelusan dan menghormati Perlembagaan”, menurut kenyataan Mahkamah Agung lagi. – AFP, 9 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen