BEBERAPA pengusaha restoran melaporkan jumlah pelanggan merosot antara 10% hingga 15% sejak seminggu larangan merokok dikuatkuasakan.
Jualan rokok juga menerima tempias menyebabkan ada pengusaha memperlahankan pengambilan stok baharu manakala ada yang mengambil keputusan menghentikan terus penjualan.
Bintang Sidewalk Cafe di Shah Alam misalnya, memperoleh keuntungan RM500 sebulan hanya melalui jualan rokok sebelum ini, tetapi menghentikan pengambilan stok baharu pada hujung tahun lepas, kata pemiliknya, Yasir Arafat Abdul Wahid, 31.
“Pelanggan dah kurang makan di sini sekarang, terutamanya waktu malam,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Beberapa pelanggan katanya, mengeluh kerana dilarang merokok di kedainya.
“Ada yang marah bila kami berhenti menjual rokok dan ada yang tidak puas hati bila kami minta mereka supaya jangan merokok walaupun duduk di luar kedai.”
Rak di bahagian juruwang yang kebiasaannya penuh dengan deretan rokok pelbagai jenama kini kosong. Sebaliknya, ditampal dengan poster “Dilarang Merokok” sebagai peringatan kepada pelanggan.
“Ya, kami rugi dari segi jualan rokok. Begitu juga hilang 15% daripada jumlah pelanggan,” kata Yasir yang sudah 12 tahun menjalankan perniagaan keluarganya itu.

Sebuah restoran mamak di Subang Jaya, Restoran Fawwaz juga kurang menerima pelanggan sejak larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran sejak 1 Januari.
Pemiliknya, yang hanya mahu dikenali sebagai Fawwaz berkata jumlah pelanggan di restorannya yang sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu berkurangan pada minggu pertama tahun ini.
“Kami hilang sekurang-kurangnya 10% pelanggan. Dah tak ramai orang datang bersarapan di sini,” kata Fawwaz.
Beliau juga mengurangkan stok rokok di kedainya. Kalau dulu pembekal datang dua kali seminggu, sekarang mereka hanya datang sekali sahaja seminggu susulan jualan yang perlahan.
Akibatnya, jualan makanan dan minuman turut menerima kesan.
“Kadang-kadang pelanggan beli dua kotak rokok, kemudian terus balik. Biasanya, mereka akan duduk (untuk makan).
“Sekarang mereka beli rokok di tempat lain,” tambahnya.
Tahun lepas, pengusaha-pengusaha restoran telah menyuarakan kebimbangan larangan merokok akan menjejaskan perniagaan mereka.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada ketika itu tetap menegaskan larangan tersebut akan diteruskan.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye ketika itu juga berkata pelanggan boleh merokok tetapi pada jarak 3 meter dari restoran.

Seorang perokok tegar yang hanya mahu dikenali dengan nama Ng, peraturan itu hanya akan menyebabkan perokok memenuhi ruang awam.
Menurut wanita berusia 33 tahun itu, lebih baik jika kerajaan membenarkan restoran menyediakan satu ruang atau kawasan yang berasingan untuk perokok yang juga disediakan dengan bekas abu rokok.
“Kadang-kadang orang pilih tempat macam itu sebab mereka boleh merokok lepas makan, daripada bersesak di tepi jalan.
“Tak boleh nak terus halang orang merokok, jadi kenapa tak sediakan saja tempat di mana kami boleh merokok,” katanya.
Seorang lagi perokok, Eugene Ho, bagaimanapun memuji langkah kerajaan itu dan berkata beliau kini sedang cuba menyesuaikan diri.
“Bila saya mula-mula dengar tentang larangan merokok, saya fikir ia sebenarnya tak perlu. Tetapi bila saya fikirkan semula, ia sebenarnya bagus untuk semua orang, terutamanya bagi yang tak merokok.
“Saya hanya perlu sesuaikan diri. Tabiat merokok saya tak sepatutnya menjejaskan kesihatan orang lain,” katanya.
Pelanggan yang merokok di restoran boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun. Bagi pengusaha restoran yang tidak meletakkan papan tanda larangan merokok pula, mereka akan dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan.
Bagaimanapun, Sabah dan Sarawak masih belum menguatkuasakan larangan merokok kerana menunggu keputusan Kabinet negeri. – 10 Januari, 2019.
Komen