JAM menunjukkan pukul 9 pagi, tetapi Imran Muslin yang berusia 12 tahun tidak ke sekolah.
Imran sibuk bekerja, mengasingkan plastik, kertas dan besi di tapak pelupusan sampah Kayu Madang yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah.
Bersama rakan seusia dengannya, Imran berdiri di atas timbunan sampah, mengutip barangan yang boleh dikitar semula dan membalingnya ke dalam guni untuk diasingkan.
Ibu bapanya turut bekerja berhampiran dan akan datang membantu selepas guni penuh, menyusunnya mengikut jenis barangan.
“Ia hari yang baik,” kata Imran. “Dengan sampah banyak ini, keluarga kami boleh dapat RM50,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Imran bersama sekumpulan kanak-kanak lain dan keluarga mereka bekerja di tapak pelupusan itu sejak dua tahun lalu. Ada di antara mereka membina rumah dan tinggal di rumah sementara itu.
Tapak pelupusan Kayu Madang seluas 145 hektar itu merupakan satu-satunya kemudahan pelupusan yang ada di Pantai Barat Sabah, dan menerima sehingga 800 tan sampah sehari dari Papar, Tuaran, Kota Belud, Kota Kinabalu dan Putatan.
“Untuk sekilogram besi dan besi buruk, peraih akan membayar kami kira-kira 40 sen. Selonggok botol plastik kira-kira RM5 dan kadbod kira-kira RM2.
“Lebih banyak kami kutip dan kumpul, lebih banyak kami dibayar. Ini sebabnya mengapa semua keluarga saya terlibat,” kata bapa Imran, Muslin Ghafar.
Plastik dan kadbod dan juga kertas dijual di pusat kitar semula berhampiran, manakala besi dihantar kepada pembeli di tapak pelupusan itu.
Busuk tapi selamat
Muslin, yang berusia 50 tahun itu merupakan pendatang haram dari Tawi-Tawi, iaitu salah sebuah pulau yang terletak di antara selatan Filipina dan pantai timur Sabah.
Beiau datang ke Sabah bersama keluarganya pada 1990an, melarikan diri daripada keganasan yang tercetus di kampungnya, dan kini cuba mencari nafkah untuk menyara anak-anaknya.
Untuk menghantar anak ke sekolah sangat mahal dan terpaksa berdepan kerenah birokrasi, jadi Muslin lebih suka Imran dan adik beradiknya bekerja di tapak pelupusan itu.
Mereka sudah biasa dengan bau busuk dan tidak kisah dengan keadaan kotor. Emma Matsaid, yang juga pengutip sampah berkata, “Kamu akan biasa dengannya jika tinggal di sini lebih dua tahun.”
Emma dan suaminya, Kimsui Kasmil, 62, tinggal di Sabah sejak 1970an dan menganggap tapak pelupusan itu kediaman mereka, bersama enam anak mereka.
Kimsui datang ke Sabah pada 1972 dan bekerja di tapak pembinaan bangunan Yayasan Sabah.
Dengan usia remajanya ketika itu, Kimsui tidak cukup kuat untuk mengangkat pasir dan konkrit menyebabkan beliau diberi tugasan lain.
“Kereta sorong yang saya tolak untuk bawa pasir dan konkrit sering terbalik kerana ia sangat berat, jadi tauke Cina beri saya tukul dan kerja saya adalah mencabut paku pada kayu.”
Pada tahun 2000, Kimsui dan isterinya, mula tinggal di tapak pelupusan Kayu Madang. Kimsui dan Emma membesarkan anak-anak mereka di sana.
“Kini saya sudah bergelar datuk dan cucu saya paling muda akan tamat sekolah menengah tak lama lagi,” katanya.
Kebanyakan pekerja di tapak pelupusan tu adalah dari etnik Bajau Ubian, katanya dan kebanyakan mereka memasuki Sabah secara haram.
Ada di antara mereka merupakan pemegang dokumen IMM13 untuk pelarian manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang bentuk pengenalan diri.
Tapak pelupusan iu bukan sahaja tempat tinggal mereka, malah ia juga selamat daripada risiko ditangkap pihak berkuasa berbanding keluar dan tinggal di tempat lain.
Beberapa pengutip sampah yang bekerja di tapak berkenaan pernah ditangkap dan dihantar pulang ke Filipina namun mereka kembali semula beberapa bulan kemudian dan meneruskan pekerjaan di tapak pelupusan itu, kata Kimsui.
“Mereka tidak dapat pekerjaan di tempat asal mereka. Sering berlaku konflik bersenjata di selatan Filipina. Inilah sebabnya lebih baik dan selamat untuk bekerja di sini di Sabah,” katanya.
Impian sederhana
Impian bagi pengutip sampah ini adalah sederhana, seperti Habiba Mansur, 45 yang sudah bekerja selama setahun di tapak pelupusan itu sehinggalah mempunyai simpanan wang yang cukup untuk membuka kantin kecil.
“Sebelum ini, pekerja hanya membeli makanan ketika dalam perjalanan dan membawa bersama mereka ke sini,” katanya.
Tiada yang tinggal di sekitar tapak pelupusan itu kerana ia terpencil dan hanya beberapa kenderaan yang memasuki kawasan berkenaan.
Sebelum Habiba membuka kantinnya, kebanyakan pengutip sampah terpaksa berjalan ke Telipok, yang merupakan pekan paling hampir.
Empat anak remaja Habiba juga bekerja mengasingkan bahan kitar semula di tapak pelupusan itu.
Katanya, beliau bangga dengan apa yang dicapai dengan simpanannya dan kantinnya kini mampu memberi makan kepada mereka yang bekerja di sini.
“Mereka kini boleh membeli makanan apabila mereka dibayar. Walaupun mereka belum mendapat gaji, saya suruh mereka ambil dulu makanan dan bayar kemudian.
“Mereka sentiasa bayar. Mereka orang yang jujur,” katanya. – 9 Januari, 2019
Komen