TIADA yang menarik tentang dunia sastera sekarang ini, selain kisah rantaian satu demi satu penerbit buku mulai gulung tikar. Sedihnya, semua penerbit yang bakal lingkup ini adalah pelobi Malaysia Baharu dalam genre kesusasteraan sejak meledaknya era penerbitan indie pada 2006.
Idea-idea gagasan baharu sastera Malaysia sebenarnya mekar di tangan penerbit-penerbit ini. Secara relatif, mereka suara pemberontakan dunia sastera yang tumbuh mengiringi gerakan sivil anti orde lama. Mereka berjuang dalam konteks tersendiri; menentang rejim lama yang menjadikan suara sastera berada di kawalan institusi milik kerajaan.
Fixi, DuBook Press, Terfaktab Media, Tukul Cetak, Studio Anai-Anai, Roman Buku, Lejen Press, Selut Press, Rumah Langit dan puluhan lagi penerbit indie kini menuju jalan kelam. Kemunculan Malaysia Baharu gagal menyelamatkan perjuangan kesusasteraan bebas mereka.
Khabar duka
Itu berita sedih sejak 2016. Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) menarik balik Skim Baucar Buku, ia membunuh kemapanan perniagaan penerbit indie. Sekarang ini, satu demi satu aset utama suara pembaharuan dalam kerja kreatif sastera anak muda, mulai lenyap dari industri perbukuan. Satu demi satu mulai tutup kedai kerana kelesuan pasaran industri buku.
Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, masih tidak kelihatan usaha menyelamatkan industri perbukuan yang kini berada di ambang maut.
Secara keseluruhannya, suara kesusasteraan Melayu antara entiti paling corot dalam indeks peranan awam sejak tiga dekad lalu. Sastera arus perdana sejak tiga dekad lalu hanya diwarnai karya-karya arus perdana yang membekukan idea-idea kritis mewakili pemberontakan awam.
Institusi milik kerajaan dalam perbukuan, ketika era BN, selama tiga dekad, dengan sengaja telah membunuh dan melenyapkan karya-karya yang berkaitan dengan kritikan politik. Karya-karya yang mewakili suara emansipasi sastera dan protes rakyat dibunuh begitu saja.
Sastera Malaysia di tangan institusi kawalan kerajaan mencorot teruk tanpa mampu memainkan peranan yang relevan dalam menggerakkan pemikiran kesusasteraan yang kritis. Sastera yang dikawal kerajaan, selama tiga dekad itu, terpisah langsung dengan kebangkitan dan kesedaran gerakan sivil.
Lesu
Sastera kita ringkasnya sedang tepu dan beku. Malah, tetap zero ketika era kebangkitan gerakan awam mencanak naik dengan kesedaran dan perjuangan mencari arah dan tenaga politik baharu. Sastera milik pentadbir yang digaji kerajaan, gagal mengimbangi kebangkitan gerakan sivil secara keseluruhannya.
Mudah cakap, sastera kita sejak tiga dekad lalu, tidak berjasa langsung dalam gerakan kebangkitan membina Malaysia Baharu.
Seismografi politik tanah air yang melalui banyak perubahan mendadak sejak 1998, hampir tidak tersentuh dalam agenda sastera. Apalagi, kalau diukur peranan sastera kita dalam perjalanan merealisasikan Malaysia Baharu yang dicetuskan kombinasi 63 NGO awam dalam gerakan Bersih. Sastera di bawah institusi awam, satu-satunya entiti yang tidak menyumbang pada revolusi undi 9 Mei lalu.
Sastera kita, sejak sekian lama melarikan diri dan mengelak untuk berperanan secara aktif dalam melobi perubahan. Sama ada dalam konteks pengkaryaan mahupun gerakan intelektualnya, apalagi gerakan sivil, sastera kita sengaja dicanai dan diacu menjadi suara seni yang buta politik.
Kalau ada pun, hanya sesekali institusi arus perdana ini muncul sebagai oknum lesu yang memprotes isu-isu berkaitan peremehan Bahasa Melayu.
Begitulah buruknya rupa sastera kita di tangan pentadbir institusi arus perdana selama tiga dekad ini.
Tidak masuk campur
Sastera arus perdana, termasuk penulis dan persatuan, memilih untuk meminggirkan diri daripada senario politik. Justeru, tidaklah aneh kalau disimpulkan, sastera kita selama tiga dekad ini umpama budak lembam.
Malah, sekarang pun kekal sama. Selepas tujuh bulan lahirnya Malaysia Baharu, sastera arus perdana masih tepu dan bacul. Para ilmuwan dan pentadbir sastera masih kekal berpelesiran dan bergayutan di hutan lama.
Sastera kita masih gagal menghayati perubahan yang terbentuk pada jam 3 pagi 10 Mei, 2018. Sastera kita terus mengekalkan momentum untuk tidak bersama perubahan arus perdana politik negara. Pentadbir sastera dan sarjana akademik masih lagi kawanan orang di tapak zoo yang lama.
Mengapa sastera membisu?
Sikap buruk pentadbir dan sarjana sastera yang enggan mengambil risiko memperluaskan diskusi ilmiah yang kritikal punca sastera sedang mati. Pentadbir dan sarjana masih sida-sida dalam konteks mempromosi kritikan politik.
Ia mungkin berkaitan dengan budaya lama. Rejim institusi sastera sekarang masih terperangkap dengan budaya kerja lama. Mereka selesa menjadi alat di bawah kawalan pemerintah. Atau, mudahnya budaya jaga bontot masih jadi pegangan.
Elak kontroversi
Institusi sastera masih kekal dengan aktiviti perbukuan dan sesi ilmiahnya yang dipenuhi dengan kajian-kajian dan bahan kreatif yang mengelak daripada kontroversi politik. Malah, dalam kes tertentu, sengaja membisu diri terhadap usaha membina budaya baharu. Program sastera yang kritis terhadap pembinaan Malaysia Baharu belum kelihatan selepas tujuh bulan.
Ini antara sebab utama, masyarakat mengabaikan sastera. Satu tindak balas yang adil setelah masyarakat melihat sastera sendiri tidak lagi memperjuangkan kepentingan awam.
Institusi sastera dengan kepimpinan pentadbiran yang lemah dan tidak mampu meletakkan sastera sebagai juru bicara massa, menyebabkan sastera dipenuhi dengan acara dan penerbitan teks bacaan yang menumpukan pada seni, atau estetika kosong. Bahan penerbitan dan wacana keilmuan yang tidak mendukung aspirasi masyarakat.
Ia diburukkan lagi dengan budaya menyenaraihitamkan penulis yang dilihat kritis terhadap kerajaan. Atau, dalam erti kata lain: Sastera masih dikongkong!
Institusi arus perdana masih memilih untuk kekal mengelakkan kontroversi. Budaya jaga bontot menyebabkan sastera kita enggan bertanggung jawab terhadap wacana yang bersikap politik.
Itu sastera sejak tiga dekad lalu. Malah, sampai hari ini masih sangat dingin dan tepu. Tujuh bulan selepas Malaysia Baharu, sastera kita masih dalam pelukan orde lama.
Sastera kita masih dunia iseng-isengan dengan karya dan wacana yang basa-basi saja. – 9 Januari, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen