KENYATAAN Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengenai “penahanan haram” Phee Boon Poh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah wajar, kata peguam dan ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh.
Beliau berkata tindakan SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Guan Eng untuk memohon maaf adalah “tidak bijak” kerana “tiada keraguan bahawa kenyataan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan yang berlaku”.
“Bagi saya ketua menteri tidak perlu membalas kata dua tidak berasas yang diberikan SPRM, walaupun beliau boleh berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramkarpal berkata Pesuruhjaya Kehakiman Abdul Wahab Mohamed telah mengetepikan perintah reman lima hari terhadap Phee yang sedang disiasat atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk suapan.
Keputusan dibuat pada 14 Ogos yang memerintahkan penahanan reman Phee dan dua individu lagi adalah salah kerana ianya berdasarkan perintah yang tidak sah. Ini bermakna SPRM menahan mereka secara haram selepas 24 jam pertama penahanan awal mereka pada 11 Ogos lalu, katanya.
“Dalam hal ini, tiada keraguan yang ketua menteri wajar apabila mengatakan penahanan itu haram.
“Lagipun, jelas sekali ketua menteri tidak menyebut yang penahanan mereka adalah haram kerana beliau tidak menyebut ‘penahanan haram’.
“Dalam erti kata lain, memang jelas ketua menteri merujuk kepada penahanan terus ketiga-tiga individu itu 24 jam selepas SPRM menahan mereka yang nyata berdasarkan perintah yang tidak sah,” kata ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.
Ramkarpal yang mewakili Phee ketika mencabar perintah reman itu berkata pegawai yang mewakili SPRM ketika prosiding reman pada 12 Ogos juga mengakui yang penolong pendaftar kanan telah “silap dalam mengeluarkan perintah reman lima hari” tanpa pembicaraan peguam ketiga-tiga individu.
SPRM semalam mengeluarkan kenyataan menuntut Lim Guan Eng memohon maaf kerana menyifatkan penahan Phee adalah haram. Kenyataan Guan Eng itu dilaporkan dalam berita bertajuk “Sg Lembu illegal factory: Guan Eng claims ignorance over DoE’s letter to MPSP and Norlela” terbitan New Straits Times.
“Selepas mendengar audio dan menonton video sidang media pada 24 Ogos di Komtar, Pulau Pinang, SPRM dapati beliau dengan jelas menggunakan perkataan “haram” oleh SPRM apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu,” kata SPRM dalam satu kenyataan.
SPRM berkata ia mengambil serius mengenai kenyataan Guan Eng itu dan berpendapat ianya fitnah dengan niat untuk mencemarkan reputasi dan nama baik SPRM.
Suruhanjaya itu juga mengatakan ia telah memfailkan Notis Rayuan dengan Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan mengeluarkan amaran bahawa sebarang kenyataan berhubung perkara dianggap subjudis.
Ramkarpal berkata beliau dan Phee tidak menerima salinan notis itu dan tidak tahu notis seperti itu difailkan. Jadi, isu subjudis tidak timbul.
“Jika memberi kenyataan berkaitan penahanan itu subjudis, bagaimana ketua menteri dikatakan menghina mahkamah sekiranya dia tidak sedar terdapat rayuan kerana kami belum pun menerima notis rayuan tersebut?”
Katanya SPRM patut berhenti mengeluarkan “ancaman tidak berasas” terhadap Guan Eng tetapi sebaliknya menjelaskan bagaimana maklumat berkenaan pembekuan akaun Phee bocor dan didedahkan kepada umum.
“Memandangkan maklumat itu diperolehi secara terus oleh SPRM, jadi tidak dapat dinafikan kebocoran itu tentu berpunca daripada SPRM juga.
“Pelik bagaimana SPRM boleh membenarkan maklumat seperti itu sampai kepada umum, sebab ia bukan sahaja boleh menjejaskan siasatan, tetapi juga membahayakan Phee dan keluarganya,” katanya.
Beberapa akhbar berbahasa Inggeris, Melayu dan Cina telah memetik sumber yang mengatakan SPRM membeku akaun peribadi Phee yang mengandungi RM2 juta. Phee kemudian menafikan beliau mempunyai wang sebanyak itu di dalam akaunnya dan memfailkan saman terhadap akhbar yang melaporkan “berita palsu” itu. – 26 Ogos, 2017.
Komen