TERDAPAT 10% kemajuan dalam pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian hari ini.
Ia melibatkan 12 pakej yang dianugerahkan kepada kontraktor sejak dilancarkan tiga tahun lalu, tambahnya.
“Projek itu masih berjalan dan kami cuba menyelesaikannya kerana ia projek yang penting yang perlu kita siapkan, jadi kita akan cuba buat yang terbaik,” katanya pada majlis pelancaran “Malaysian Standard for civil Engineering Method of Measurement” di Kota Kinabalu hari ini.
Lebuh raya tersebut akan menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta Lebuh Raya Trans-Kalimantan, Indonesia.
Lebuh raya dua lorong sepanjang 2,325km itu dibiayai oleh kerajaan pusat dengan anggaran kos RM29 bilion dijangka siap pada 2022.
Baru berkata beliau dimaklumkan terdapat kelewatan di kawasan tertentu projek tetapi berharap kontraktor boleh memenuhi tempoh masa ditetapkan kementerian. – 8 Januari, 2019.
Komen