JENAYAH rentas sempadan yang dilakukan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina mungkin boleh dikurangkan jika Sabah memulakan semula perdagangan barter, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata penjenayah terutama di kawasan bergolak di selatan Filipina, boleh menghentikan perbuatan jenayah jika diberikan peluang untuk mendapat “wang baik”.
“Saya percaya dengan perniagaan yang lebih baik, ia akan membanteras orang di Filipina untuk melakukan penculikan lagi.
“Tidak ada sesiapa pun akan melakukan jenayah jika ada peluang untuk buat duit,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Rumah Terbuka Krismas Ahli Parlimen Tuaran Madius Tangau di Kiulu, Tuaran hari ini.
Shafie berkata Sabah sepatutnya mengambil pendekatan “jiran yang baik” dengan harapan penduduk di selatan Filipina akan turut mendapat manfaat daripada aktiviti perdagangan dengan Sabah.
Sabah pada mulanya bercadang untuk memulakan kembali perdagangan barter di Daerah Pantai Timur pada 1 Januari lalu.
Tetapi secara rasmi ia belum bermula lagi.
Sabah mengharamkan perdagangan barter untuk selamanya pada April 2016 susulan kebimbangan tentang keselamatan seperti penculikan dan lanun, selain penyeludupan barangan subsidi seperti silinder gas, beras dan minyak masak.
Ketidaktenteraman yang berterusan, masalah dan budaya senjata Filipina menjejaskan ekonomi selatan Filipina, menyebabkan ramai yang melarikan ke wilayah berdekatan termasuk Sabah.
Ada yang menjadikan penculikan satu perniagaan untuk mendapatkan wang.
Shafie berkata perdagangan barter dengan negara jiran seperti Filipina dan Indonesia selama ini memberi keuntungan kepada Sabah kerana barangan lebih murah di Malaysia berbanding negara mereka.
Bagaimanapun katanya, pembukaan semula perdagangan barter akan dikenakan prosedur ketat untuk membanteras penyeludupan terutama barangan subsidi seperti minyak masak, beras dan gula yang dijual lebih murah di Malaysia berbanding dua negara berkenaan. – 8 Januari, 2019.
Komen