Undang-undang tegas diperlukan banteras ubat tiruan


Asila Jalil

Ubat tiruan tidak mengandungi bahan ubat aktif dan pengguna tidak menyedari ini, kerana ia dijual dalam talian daripada sumber meragukan. – Gambar EPA, 8 Januari, 2019.

PERUNTUKAN undang-undang lebih tegas diperlukan untuk membendung penjualan ubatan tiruan, yang sering dibeli secara dalam talian, kata Persatuan Farmaseutikal Malaysia (Phama) hari ini.

Peruntukan ini termasuk semakan semula jumlah denda, hukuman penjara dan syarikat ubat yang harus dipertanggungjawabkan, kata Pengarah Eksekutif Phama Ewe Kheng Huat.

Beliau berkata tiga daripada syarikat yang menjadi ahli persatuan itu melaporkan penipuan yang melibatkan produk mereka.

Ubat tiruan tidak mengandungi bahan ubat aktif dan pengguna tidak menyedari ini, kerana ia dijual dalam talian daripada sumber meragukan.

Ewe berkata Phama bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam, seperti menyediakan latihan teknikal kepada pegawai untuk mengenal pasti penjualan ubat-ubatan tiruan.

“Mereka cuba memperketatkannya (jualan ubatan tiruan dalam talian) dan mengenakan penalti  lebih tegas. Mereka memeriksa semua laman sesawang,” katanya pada pelancaran Buku Fakta Industri 2018 Phama.

Ewe berkata pengguna tidak sepatutnya membeli ubat secara dalam talian tanpa mendapat preskripsi yang tepat.

Beliau berkata ubat yang dijual dalam talian mungkin tidak didaftarkan dan sumber juga tidak diketahui.

“Pesakit perlu berhati-hati. Mereka tidak boleh mendiagnosis sendiri dan membeli ubat-ubatan secara dalam talian kerana anda tidak akan tahu apa sumbernya.

“Adalah penting bagi pesakit mendapatkan produk yang didaftarkan di sini. Adakah ubat-ubatan dalam talian berdaftar? Ia boleh dipersoalkan.” – 8 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen