KERAJAAN Chile menganggarkan jumlah keluasan hutan yang musnah akibat kebakaran pada musim ini ialah sekali ganda berbanding tempoh sebelumnya, kata Menteri Pertanian Antonio Walker.
“Kami meramalkan bahawa kebakaran hutan akan memusnahkan kawasan seluas kira-kira 70,000 hektar tahun ini,” kata Walker dalam satu sidang akhbar sambil menambah bahawa unjuran itu adalah berdasarkan kemungkinan suhu tinggi berterusan, kelembapan yang rendah serta angin kencang.
Sementara itu, sejumlah 2,100 kebakaran hutan telah memusnahkan kawasan seluas 9,206 hektar sejak permulaan musim panas pada 1 Julai, namun tiada kemalangan jiwa.
Risiko kebakaran paling tinggi berlaku dalam Januari dan Februari iaitu pada kemuncak musim panas di Hemisfera Selatan.
“Ramalan cuaca memihak kepada kebakaran,” kata menteri itu.
Sejak sedekad lepas, purata tahunan kerugian akibat kebakaran ialah kemusnahan kawasan seluas 50,000 hektar, namun api yang merebak ke seluruh bahagian tengah dan selatan Chile pada 2017 memusnahkan kawasan seluas 600,000 hektar.
Walker berkata negara itu sedia berdepan musim kebakaran hutan, dengan sejumlah AS$78 juta diperuntuk bagi membiayai operasi 2,800 anggota bomba yang turut dibantu oleh lebih 40 pesawat. – Bernama, 8 Januari, 2019.
Komen