PAKAR memberi amaran jumlah rakyat Australia yang cuba mendapatkan zuriat pada usia agak lewat adalah “membimbangkan,” lapor agensi berita China Xinhua.
Penyelidik dari Universiti Flinders pada Selasa menyiarkan satu kajian yang mendapati lelaki dan wanita “secara konsisten meremehkan” kesan usia terhadap tahap kesuburan.
Kenneth Tremellen, penulis bersama kajian itu, berkata wanita yang melengah-lengahkan usaha mendapatkan zuriat kerana ingin memenuhi matlamat kerjaya dan pendidikan tanpa menjalani ujian bagi menentukan sama ada ovari mereka terdedah kepada penuaan awal, adalah satu trend yang “membimbangkan.”
“Terdapat satu trend sejak empat dekad lepas, iaitu memulakan kehidupan berkeluarga pada usia agak lewat dan ketika ini, wanita akan berusaha mendapatkan zuriat pada usia kira-kira 31 tahun,” katanya kepada stesen penyiar Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Selasa.
“Perkara ini agak membimbangkan kerana tahap kesuburan merosot seiring peningkatan usia dan kita tahu kira-kira 10% populasi akan kehilangan telur berkualiti pada pertengahan usia tiga puluhan selain berdepan risiko nyata tidak dapat memiliki zuriat langsung.”
Kajian itu mendapati kebanyakan wanita tidak menyedari kewujudan Saringan Rizab Ovari, yang mampu mengesan sama ada pengeluaran telur seseorang wanita berkurangan, satu kondisi yang biasanya tidak mempunyai gejala.
“Mereka tidak tahu tentang perkara ini. Mereka tidak mempunyai sebarang gejala dan mereka langsung tidak menyedarinya,” kata Tremellen. – Bernama, 8 Januari, 2019.
Komen