PELAN Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) bagi menangani nasib masyarakat India tidak akan berkesan jika isu struktur pelengkap tidak ditangani, kata pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid.
“MIB adalah campurtangan agresif kerajaan bagi membantu masyarakat India. Tapi itu sahaja tidak cukup. Pembaharuan dalam pendidikan, pekerjaan dan fiskal adalah perlu untuk menjadikannya berkesan,” kata Muhammed di persidangan mengenai dilema masyarakat India Malaysia di Petaling Jaya hari ini.
Sebagai contoh, kata Muhammed, hanya anak-anak daripada keluarga kaya sahaja yang akan mendapat faedah sekiranya sistem pendidikan masih mengekalkan pemberian biasiswa berdasarkan sistem meritokrasi.
“Ini bermakna dasar-dasar tertentu perlu diselaraskan secara serentak. Terutamanya polisi pendidikan yang hanya mengutamakan meritokrasi yang tidak memberi manfaat kepada golongan miskin dari masyarakat India, Melayu dan Cina. Sebaliknya ia hanya berfaedah untuk mereka dari keluarga kaya,” katanya.
Beliau berkata campur tangan juga perlu dalam bidang lain seperti penyertaan masyarakat India dalam perniagaan dan masalah sosial tertentu.
Kerajaan katanya, terpaksa campur tangan kerana ia tidak boleh membiarkan kuasa pasaran yang membuat keputusan.
“Mengapa? Kerana kalau anda biarkan kepada kuasa pasaran, hanya orang kaya yang akan mendapat manfaat,” katanya.
Pelan induk 10 tahun itu mengandungi penyelesaian kepada beberapa isu utama yang mempengaruhi masyarakat India seperti pendidikan, penigkatan mata pencarian dan penyertaan sosial yang lebih baik.
Di bawah pelan itu, kerajaan telah mensasarkan sekurang-kurangnya 7% penyertaan masyarakat India dalam perkhidmatan awam di semua peringkat menjelang 2026.
Kerajaan juga akan campur tangan dalam meningkatkan kemasukan pelajar India di institusi pengajian tinggi tempatan kepada sekurang-kurangnya 7%.
Ini termasuk peruntukan sebanyak RM500 juta di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) khususnya untuk kumpulan B40 dalam kalangan masyarakat India, juga sistem pelepasan khas bagi memberikan taraf warganegara kepada mereka yang menetap atau lahir di Malaya sebelum 1957 yang akan dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Semas sesi itu juga Muhammed membetulkan mitos yang berkeliaran dalam kalangan masyarakat India mengenai tahap kemiskinan dan kedudukan masyarakat itu dalam beberapa isu lain.
“Kita fikir masyarakat India adalah yang termiskin, sedangkan yang sebenarnya adalah Bumiputera. Mungkin Bumiputera miskin ini tidak kelihatan, sebab mereka berada di luar bandar.
“Sama juga dengan kematian dalam tahanan. Bumiputera catat bilangan tertinggi, buka India. Atau dalam ketidaksamaan pendapatan, orang Cina adalah yang paling tinggi,” katanya.
“Jadi semua ini penting untuk menyingkirkan semua prasangka dan salah faham.
“Sebenarnya, ramai antara kita dalam situasi yang sama. Kita cuma tidak sedar.”
Katanya, isu yang dihadapi masyarakat India, Melayu dan Cina tidak boleh dilihat secara berasingan.
“Ia adalah isu kebangsaan. Apabila sesuatu kumpulan berjaya, kita perlu sokong semua orang. Jadi, tiada salahnya menggunakan isu kaum ketika diperlukan sekiranya ia dapat menyelesaikan masalah,” kata Muhammed.
Persidangan Dilema Masyarakat India Malaysia adalah program sehari yang dianjurkan pemimpin Pakatan Harapan bagi mengumpul maklumat daripada tokoh-tokoh utama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India mengenai bagaimana menangani masalah dalam masyarakat India. – 26 Ogos, 2017.
Komen