MCA mesti pulangkan duit 1MDB, kata Guan Eng


Chan Kok Leong

Menteri Kewangan Lim Guang Eng mendesak MCA memulangkan duit diterima daripada kerajaan Barisan Nasional yang didakwa berasal daripada 1MBD. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Januari, 2019.

MCA harus jujur mengenai duit yang diperoleh daripada Barisan Nasional (BN) dan memulangkan RM16.5 juta yang dikatakan diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Jangan sembunyi dan lari. Anda tidak boleh melindunginya. Jadi, pulangkan sahaja RM16.5 juta kepada 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” kata Lim selepas menyerahkan peruntukan RM25 juta untuk sekolah pondok hari ini.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, mengulas mengenai wawancara baru-baru ini oleh Presiden MCA Dr Wee Ka Siong yang memberitahu akhbar The Star yang beliau tidak menyedari partinya menerima wang daripada 1MDB, yang diselia oleh Najib .

“Setakat yang sama maklum, sejak saya menjadi timbalan presiden MCA pada 21 Disember 2013, tiada satu sen yang diterima. Sebelum itu, saya tidak mengetahui sebarang maklumat tersebut,” kata Wee kepada The Star.

Bekas presiden Dr Chua Soi Lek menulis dalam memoirnya bahawa parti itu menerima RM16.5 juta daripada Najib sebelum pilihan raya umum 2013.

“Sekiranya anda presiden MCA dan sumber dana diragui dan dipertikaikan, anda perlu menyemaknya dan bertanggungjawab,” kata Lim.

“Bagi pihak Kementeri Kewangan dan 1MDB, saya minta MCA memulangkan RM16.5 juta itu. Begitu juga parti politik lain dan kami tahu siapa mereka. Pulangkan wang itu kepada 1MDB.

“Wee tidak boleh lepas tangan sama seperti kerajaan tidak boleh menolak untuk membayar balik cukai GST sebanyak RM19 bilion kepada syarikat.”

Katanya, jika MCA mendakwa sudah mengambil iktibar, ia harus jujur dan mengambil tanggungjawab kerana menerima duit yang tidak sah.

Bagaimanapun, Lim berkata Putrajaya tidak akan menyiasat MCA kerana dana itu memandangkan ia mempunyai keutamaan lain buat masa sekarang.

“Kami sedang bekerja ke bawah dan bermula dengan berbilion dan ratusan juta dahulu.

“Kita perlu mengambil tindakan terhadap perkara lebih besar.” – 8 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen