KERAJAAN akan menyelidik laporan dakwaan bahawa hutang 1MDB dimbil kira ke dalam kos untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan saluran paip Sabah, kata Lim Guan Eng.
Berdasarkan pendiriannya, kerajaan tidak menyedari mengenai pendedahan dibuat oleh The Wall Street Journal (WSJ) hari ini.
“Kami tahu harga melambung. Tetapi kita perlu menyemak rekod itu. Saya berminat mendapatkan salinan minit mesyuarat oleh WSJ itu,” kata Lim mengulas laporan itu selepas menyerahkan peruntukan RM25 juta bagi sekolah pondok.
Lim berkata kos projek ECRL dan saluran paip Sabah melambung.
“Bagi projek saluran paip Sabah, jumlah sudah dibayar sebanyak RM8.3 bilion atau 88% daripada kos projek walaupun kerja yang dilakukan hanya 10%.
“Pasti ada sesuatu yang salah, bukan?
“Tetapi saya perlu merujuk kembali untuk mengetahui sama ada terdapat butiran atau perkara yang dinyatakan dengan jelas. Jika ini dikatakan, ini adalah sesuatu yang akan kita lakukan,” kata Lim.
WSJ melaporkan hari ini pegawai Malaysia dalam kerajaan Barisan Nasional dan China mengambil kira hutang 1MDB ketika mereka membuat rundingan kedua-dua projek itu.
“Minit mesyuarat China-Malaysia mengatakan walaupun tujuan projek itu ‘bersifat politik’- untuk menyokong kerajaan Najib Razak, menyelesaikan hutang 1MDB dan memperkukuhkan pengaruh China di Malaysia - adalah penting bagi orang ramai melihatnya sebagai berasaskan dorongan pasaran,” kata akhbar itu.
Ia berkata projek itu dibiayai melebihi nilai pasaran untuk menjana lebihan tunai bagi keperluan lain. – 8 Januari, 2019.
Komen