Mesir kutuk cubaan rampasan kuasa di Gabon


Presiden Gabon, Ali Bongo Ondimba kini menjalani sesi pemulihan di Maghribi selepas mengalami serangan angin ahmar pada akhir Oktober 2018. – Gambar EPA, 8 Januari, 2019.

KEMENTERIAN Luar Mesir pada Isnin mengutuk percubaan rampasan kuasa di Gabon, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kementerian itu.

“Mesir menyokong pihak berkuasa yang sah di Gabon selaras dengan prinsip-prinsip pentadbiran Kesatuan Afrika,” menurut kenyataan itu yang turut menggesa pihak terbabit menghormati kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara Afrika Barat tersebut.

Terdahulu, jurucakap kepresidenan Gabon berkata ketua pemberontak militia yang menerajui percubaan rampasan kuasa itu pada Isnin ditahan manakala dua komandonya terbunuh selepas mereka menyerbu sebuah stesen radio awam.

Enam tentera pemberontak sebelum itu menyerbu stesen radio rasmi dan “meneutralkan” anggota polis di depan bangunan tersebut sebelum bersiaran secara langsung, menurut kenyataan itu.

Pasukan keselamatan menyerbu stesen radio itu yang terletak di bandar Libreville dalam usaha menawannya kembali, dan berjaya membunuh dua pemberontak, menahan ketua mereka serta membebaskan wartawan yang dipaksa membantu pemberontak terbabit membuat rayuan ketika bersiaran.

“Keadaan kini adalah terkawal,” menurut kenyataan presiden.

Presiden Gabon, Ali Bongo, ketika ini menjalani sesi pemulihan di Maghribi selepas mengalami serangan angin ahmar pada akhir Oktober 2018. – Bernama, 8 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen