Pemandu Uber di AS mengaku salah tembak mati 6 individu


Seorang pemandu Uber mengaku bersalah kerana memulakan serangan tembakan pada Februari 2016 di bandar kecil Kalamazoo, AS ketika mencari pelanggan. – Gambar EPA, 8 Januari, 2019.

SEORANG pemandu Uber yang menembak mati enam individu di Midwestern, Michigan, Amerika Syarikat (AS) mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan semalam.

Dalam satu kejutan ketika perbicaraan dijadualkan bermula, Jason Dalton mengaku bersalah kerana memulakan serangan tembakan pada Februari 2016 di bandar kecil Kalamazoo, ketika mencari pelanggan bagi perkhidmatan perkongsian perjalanan Uber.

Dalton didakwa dengan enam tuduhan membunuh, dua tuduhan percubaan bunuh dan lapan tuduhan senjata api. Beliau berdepan hukuman mati mandatori tanpa parol.

Pihak pendakwa berkata tiada sebarang tawaran bagi pengakuan salah.

Apabila ditanya oleh hakim sama ada beliau mengaku bersalah “secara sukarela atas kehendak sendiri,” Dalton menjawab: “Ya, saya mahu melakukan ini sejak beberapa lama.”

Dalton dilaporkan memberitahu polis beliau menjadi “boneka” oleh aplikasi Uber, yang mengarahkannya menembak orang secara rawak selama beberapa jam.

Mangsanya adalah seorang ibu berusia 25 tahun yang cedera ketika melindungi sekumpulan kanak-kanak daripada terkena peluru, seorang ayah dan anak lelaki ditembak mati di sebuah pengedar kereta dan empat warga tua yang terbunuh di tempat letak kereta restoran yang turut melibatkan seorang remaja cedera.

Stesen televisyen bersekutu NBC, WOOD melaporkan Dalton memilih untuk mengaku bersalah bagi memastikan keluarganya dan waris mangsa terbabit dalam perbicaraan. – AFP, 8 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen