MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata PKR tidak pernah mengadakan perbincangan rasmi dengan PAS untuk bekerjasama di Selangor.
Timbalan presiden PKR itu berkata apa sahaja pendekatan dengan PAS bukanlah insiatif peribadinya.
“Saya dah beritahu sebelum ini bahawa tiada perbincangan rasmi dengan PAS. Saya tekankan sekali lagi, termasuk Malaysiakini, mereka terus mengatakan ia inisiatif saya. Tolong, ia bukan inisiatif peribadi saya.
“Ia keputusan parti. Saya hanya mewakili parti. Perbincangan adalah di antara PKR dan PAS, tiada kena mengena dengan Pakatan Harapan (PH). Tetapi belum ada perbincangan rasmi,” katanya hari ini.
Azmin diminta mengulas mengenai pengumuman PAS awal minggu ini yang akan bertanding 42 daripada 56 kerusi di Selangor. Ini bermakna PAS akan mensasar kerusi yang dipegang PKR, yang membawa kepada pertembungan tiga penjuru.
Kerajaan Selangor terdiri daripada 29 Adun PH dan 13 dari PAS. Barisan Nasional (BN) dan dua wakil rakyat bebas memegang baki 14 kerusi.
PAS dan PKR sebelum ini merupakan sekutu politik bagaimanapun hubungan itu terputus pada Mei lalu. Dua tahun sebelum itu, PAS memutuskan hubungan dengan DAP hingga menyebabkan kejatuhan Pakatan Rakyat.
“Ini perkara biasa. Semua parti politik berminat untuk bertanding dalam mana-mana kerusi,” kata Azmin.
“Ianya dapat diselesaikan dalam bentuk perbincangan. Kita akan berbincang dengan semua, kecuali Umno, BN atau Utusan,” katanya.
Mei lalu, selepas PAS memutuskan hubungan dengan PKR, Azmin berkata tiga wakil PAS dalam dewan eksekutif Selangor akan mengekalkan jawatan mereka sehingga akhir tempoh.
Beliau juga berkata kepimpinan PKR mahu “terbuka” dengan PAS. Pada masa itu, banyak tuntutan dikemukakan agar PAS melepaskan semua jawatan dalam kerajaan Selangor.
PKR cuba mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan Umno dan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang mana akan memecah undi dan menguntungkan kepada Umno.
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berkata beliau terbuka untuk bekerjasama dengan PAS dalam PRU14 bagi menjatuhkan kerajaan BN.
Dr Wan Azizah itu berkata demikian beberapa hari selepas beliau dan Azmin melawat Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang baru menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Selayang William Leong meletakkan jawatan dari Biro Politik PKR sebagai bantahan terhadap usaha bekerjasama dengan PAS.
William berkata beliau tidak bersetuju dengan usaha parti untuk bekerjasama dengan PAS memandangkan PAS sudah jelas berurusan dengan Umno.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata partinya tidak akan membincangkan tentang pembahagian kerusi bagi PRU14 dengan PKR. – 26 Ogos, 2017.
Komen