Kebebasan ruang udara, maritim dipertaruhkan


Sheridan Mahavera

Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan dijangka akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Saifuddin Abdullah bagi menyelesaikan pertikaian sempadan maritim dan ruang udara. – Gambar EPA, 8 Januari, 2019

KAWALAN dan kebebasan untuk membangunkan sebuah wilayah dipertaruhkan hari ini apabila menteri-menteri hal ehwal luar negeri Malaysia dan Singapura mengadakan pertemuan untuk membincangkan pertikaian yang menyebabkan ketegangan antara dua negara jiran.

Selepas beberapa minggu terbabit dalam pertikaian dan ancaman tindakan ketenteraan, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dijangka akan bertemu dengan rakan sejawatnya, Vivian Balakrishnan di negara republik itu untuk memulakan rundingan bagi menyelesaikan pertikaian berhubung ruang udara dan sempadan maritim.

Pertikaian bermula pada 1 Disember apabila Singapura mengeluarkan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) untuk lapangan terbang Seletar, yang sepatutnya bermula pada 3 Januari.

Malaysia bagaimanapun membantah prosedur itu, dan mengatakan ia akan menjejaskan pembangunan di Pasir Gudang, yang terletak kira-kira 3 kilometer di seberang selat dari lapangan terbang berkenaan, kerana ia akan menghalang pembinaan bangunan tinggi. Ini bagaimanapun dinafikan oleh menteri pengangkutan Singapura.

Pemerhati berkata, sistem ILS dipasang sebagai sebahagian daripada rancangan Singapura untuk menaik taraf lapangan terbang Seletar untuk menerima lebih banyak penerbangan, yang akan meluaskan tempat pendaratan dan meningkatkan kapasiti di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Pertikaian kedua berlaku di bahagian barat selat yang menyaksikan pengawal pantai dan tentera laut kedua-dua negara melabuhkan bot peronda untuk mengawal kawasan yang didakwa kedua-dua pihak sebagai wilayah maritim mereka – kawasan perairan dari pantai Tg Pelepas di Malaysia ke utara dan pelabuhan Tuas di Singapura ke selatan.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata, pertikaian berhubung peluasan pelabuhan Tuas di republik itu menerusi penambakan bermula pada 2002.

Pada tahun itu, Malaysia membantah penambakan tanah Singapura kerana ia menceroboh perairan Malaysia. Pihak Berkuasa Pelabihan Johor berkata, peluasan Singapura di pelabuhan Tuas memberi kesan kepada pelabuhan Tg Pelepas dan Pasir Gudang.

Perjanjian damai dicapai pada tahun 2005 melalui penandatanganan perjanjian antara kedua belah pihak.

Kurang pengalaman diplomatik

Pengkritik pentadbiran Pakatan Harapan berkata, pertikaian ini mencerminkan kurangnya pengalaman kerajaan dalam hubungan antarabangsa, namun pakar lain mengatakan pertikaian Singapura-Malaysia tidak dapat dielakkan.

Ini kerana dua negara terbabit mempunyai sejarah yang sentiasa mendedahkan mereka kepada pertikaian, kata penganalisis politik Dr Oh Ei Sun.

Pertikaian ini bukanlah perkara luar biasa dan ia biasanya berakhir di meja rundingan, kata Oh yang merupakan felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

“Tetapi hubungan sejarah yang unik seperti ini memperlihatkan kedua-dua negara jiran ini sentiasa cuba menyelesaikan perbezaan pendapat dengan cara rundingan atau pengaduan antarabangsa selepas saling berperang mulut. Siri pertikaian terkini tidak terkecuali,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 8 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen