Kakitangan Ryanair Sepanyol batal mogok


Kru penerbangan Ryanair sebelum ini pernah mengadakan mogok menyebabkan ratusan ribu penumpang syarikat penerbangan itu terjejas. – Gambar EPA, 8 Januari, 2019

KESATUAN yang mewakili kira-kira 1,800 kakitangan Ryanair di Sepanyol membatalkan mogok 24 jam yang dirancang semalam namum mereka akan meneruskannya pada 10 dan 13 Januari. 

Bulan lalu, kesatuan USO dan Sticpla melancarkan tiga mogok selama 24 jam kerana syarikat penerbangan tambang murah Ireland itu gagal mencapai persetujuan dengan mereka ketika proses mediasi bagi meningkatkan syarat bayaran dan kerja. 

Namun pada Isnin, dua kesatuan itu membatalkan pelan tindakan itu pada Selasa selepas mengadakan rundingan bersama wakil Ryanair, yang berdepan beberapa siri mogok di beberapa negara Eropah sejak beberapa bulan lalu. 

“Secara dasarnya, ia bagi memberi lebih peluang untuk rundingan terus diadakan,” kata wakil Sitcpla, Manuel Lodeiro kepada AFP. 

Kesatuan itu menuntut kontrak tempatan di bawah undang-undang tempatan berbanding kontrak yang digunapakai secara meluas oleh Ryanair. 

Syarikat penerbangan tambang murah paling besar di Eropah itu mengiktiraf kesatuan berkenaan buat pertama kalinya dalam sejarah sejak 30 tahun pada Disember 2017, bagi mengelakkan mogok besar-besaran ketika cuti perayaan Krismas. 

Pada Julai, mogok dilancarkan oleh kru kokpit dan kabin penerbangan menyebabkan 600 penerbangan terganggu di Belgium, Ireland, Itali, Portugal dan Sepanyol menjejaskan 100,000 penumpang. 

Pada 29 September, kru kabin syarikat penerbangan itu sekali lagi mogok di Jerman, Belgium, Itali, Belanda, Portugal, dan Sepanyol dan di beberapa negara, kesatuan juruterbang turut mengambil tindakan sama. – AFP, 8 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen