Australia kuatkuasa kamera khas kesan pemandu guna telefon bimbit


Statistik Universiti Queensland menunjukkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu menyumbang satu daripada empat kemalangan di Australia. – Gambar EPA, 7 Januari, 2019.

AUSTRALIA menjadi negara pertama di dunia menguatkuasakan penggunaan teknologi kamera khas untuk mengesan pemandu menggunakan telefon bimbit, selepas tempoh percubaan sistem itu pada Oktober lalu membuahkan hasil.

Dengan menggunakan sistem berasaskan radar, kamera itu berupaya merakam pemandu yang menggunakan telefon bimbit menerusi cermin sisi kenderaan, lapor Xinhua.

Gambar yang dirakamkan kemudian akan dianalisis dan disemak untuk pengesahan.

Menteri Pengangkutan New South Wales (NSW) Melinda Pavey berkata statistik Universiti Queensland menunjukkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu menyumbang satu daripada empat kemalangan di Australia.

“Ia bukan untuk menambah hasil pihak kerajaan,” katanya sambil menambah sebanyak 74% penduduk NSW menyokong langkah penggunaan kamera itu.

Sepanjang 2017, sebanyak 42,000 saman dikeluarkan di seluruh NSW kerana kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. – Bernama, 7 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen