POLIS Tokyo menyiasat insiden bunuh diri seorang pegawainya yang bertanggungjawab mengawal trafik berhampiran tempat kejadian serangan rempuhan kereta menyebabkan sembilan cedera pada malam Tahun Baharu.
Dalam kejadian di Harajuku, daerah fesyen yang terkenal di Tokyo itu, Kazuhiro Kusakabe, 21, yang memandu sebuah kenderaan merempuh ke arah orang ramai, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang cedera parah.
Sehari selepas insiden itu, pegawai berusia 36 tahun dari jabatan trafik tempatan ditemui mati di tingkat bawah balai polis Harajuku, kata polis Tokyo.
“Pegawai itu berdarah di kepalanya. Dia ada pistol di tangan kanannya dan satu peluru sudah ditembak daripada senjata itu,” kata jurucakap polis.
“Kami sedang menyiasat kenapa kejadian itu berlaku.”
Stesen televisyen NHK melaporkan memetik sumber polis, pegawai terbabit bertugas mengawal trafik berhampiran kawasan di mana serangan itu berlaku beberapa minit sebelum Tahun Baharu.
Laporan itu menyatakan pegawai terbabit mengalami gangguan di tempat kerja dan dilaporkan meninggalkan nota bunuh diri.
Penyerang itu yang dilaporkan memandu dari arah bandar Osaka, kini ditahan kerana disyaki melakukan cubaan membunuh. – AFP, 7 Januari, 2019.
Komen