TENTERA Cameroon berkata ia membunuh dua komander puak pemisah bersenjata di bahagian Barat Daya, antara wilayah terjejas akibat perang di negara itu yang penduduknya bertutur dalam bahasa Inggeris.
Jeneral Obi, ketua kumpulan yang menimbulkan rasa gentar dalam kalangan penduduk tempatan di Mamfe, Okoyong, Bachuo Ntai, Bachuo Akagbe dan Nchemba, ditembak mati pada awal pagi Ahad, menurut kenyataan tentera.
Kenyataan itu juga menyebut, operasi yang dijalankan oleh pasukan elit Cameroon, Rapid Intervention Battalion (BIR), turut membunuh Jeneral Eyong, seorang daripada komander puak pemisah.
“Kem mereka dimusnahkan dan beberapa senjata api ditemui atau dimusnahkan,” kata tentera.
Penduduk tempatan yang ditemu bual agensi berita China Xinhua berkata beberapa pejuang puak pemisah lain dan pasukan kerajaan turut terbunuh dalam serangan itu.
Serangan itu berlaku kira-kira seminggu selepas Presiden Cameroon Paul Biya memberi amaran dalam amanat akhir tahun beliau bahawa puak pemisah bersenjata akan “dineutralkan” jika mereka enggan meletakkan senjata dan mengikut haluan yang betul.
Pertempuran antara pasukan kerajaan dan kumpulan pemisah bersenjata berlanjutan sejak November 2017 selepas pemisah mengisytiharkan kemerdekaan sebuah negara yang dinamakan “Ambazonia” di dua wilayah iaitu Barat Laut dan Barat Daya yang penduduknya bertutur dalam bahasa Inggeris.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 430,000 rakyat Cameroon kehilangan tempat tinggal manakala sekurang-kurangnya 30,000 lagi melarikan diri ke negara jiran Nigeria sejak konflik itu bermula. – Bernama, 7 Januari, 2019.
Komen