Rakyat Korea Selatan berjimat, makin jarang makan di luar


Purata rakyat Korea Selatan yang makan di luar ialah 20.8 kali sebulan pada tahun lepas berbanding 21.8 kali sebulan bagi tahun sebelumnya.– Gambar EPA, 7 Januari, 2019.

RAKYAT Korea Selatan jarang makan di luar pada 2018 berbanding tahun sebelumnya kerana mereka mengamalkan langkah berjimat cermat susulan keadaan ekonomi yang lemah, menurut satu tinjauan pendapat pada Isnin, lapor agensi berita Yonhap.

Mengikut kaji selidik yang membabitkan sejumlah 3,014 orang berusia lingkungan 20 hingga 69 tahun, purata rakyat Korea Selatan yang makan di luar ialah 20.8 kali sebulan pada tahun lepas berbanding 21.8 kali sebulan bagi tahun sebelumnya.

Kunjungan ke restoran ialah sebanyak 13.7 kali sebulan, dengan makanan dihantar atau dibungkus bagi jumlah selebihnya.

Perbelanjaan purata untuk makan di luar ialah sebanyak 292,689 won (AS$260.40) sebulan, kira-kira 11,000 won lebih rendah berbanding tahun lepas.

Kaji selidik itu, yang dijalankan oleh Perbadanan Agro-Perikanan dan Perdagangan Makanan milik kerajaan, turut menunjukkan bahawa purata rakyat Korea Selatan yang makan sendirian ialah 3.5 kali sebulan semasa makan di luar.

Sentimen pengguna Korea Selatan agak lemah pada 2018 kerana ekonomi merudum susulan permintaan domestik yang lemah, meskipun eksport adalah kukuh. – Bernama, 7 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen