5 remaja maut, pemilik 'escape room' Poland didakwa


Lima remaja perempuan maut dalam kebakaran ketika bermain escape room di Poland. Pemilik pusat itu didakwa sengaja menyebabkan punca kebakaran. – Gambar EPA, 7 Januari, 2019.

PENDAKWA raya Poland yang menyiasat kematian lima remaja perempuan dalam satu “escape room” atau bilik melepaskan diri berkata seorang pemilik pusat permainan itu didakwa kerana sengaja mencipta punca kebakaran yang menjadi punca bencana.

Menurut media Poland, lima gadis semuanya berusia 15 tahun itu maut dan seorang lelaki cedera parah Jumaat lalu apabila satu kebakaran meletus dalam bilik melepaskan diri di mana mereka meraikan majlis hari lahir di bandar Koszalin di utara Poland.

Escape room yang popular di seluruh dunia menawarkan pengalaman aksi nyata di mana pemain dikunci dalam sebuah bilik dan diberi tempoh sejam menyelesaikan beberapa pembayang dan teka-teki untuk melepaskan diri.

Suspek berusia 28 tahun didakwa dengan sengaja mencetuskan bahaya satu kebakaran dalam bilik melepaskan diri dan sengaja mencetuskan kematian mangsa dalam satu kebakaran, kata jurucakap pendakwa raya daerah Koszalin, Ryszard Gasiorowski.

Gasiorowski berkata suspek dikenali sebagai Milosz S atas alasan perundangan dan tertuduh mengabaikan laluan selamat yang mungkin membolehkan gadis terbabit lari apabila berlaku kebakaran.

Peguam defendan memaklumkan kepada media tempatan, tertuduh kesal dengan kematian itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa namun menafikan sebarang pengabaian atau salah laku.

Terdahulu, Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki semalam berjanji untuk menutup escape room yang gagal memenuhi standard keselamatan selepas anggota bomba memeriksa hampir 200 kemudahan seperti itu di seluruh negara pada hujung minggu lalu.

Komander bomba kebangsaan, Leszek Suski berkata lebih 100 pusat seperti itu didapati tidak selamat dan 13 premis ditutup segera.

Morawiecki juga mengumumkan penelitian lebih 1,000 bilik seumpama itu atau pusat berkaitan di Poland untuk mengenal pasti jika peraturan baharu diperlukan. – AFP, 7 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen