POLITIKUS memerintah Sabah dituduh memekakkan telinga dalam mendengar desakan supaya memenuhi janji mereka menghentikan projek musnahkan alam sekitar di negeri itu.
Aktivis negeri itu mendakwa pemimpin berkenaan yang dahulunya memperjuangkan alam sekitar kini sudah memutuskan semua perhubungan selepas menang pilihan raya.
“Kerajaan sebelum ini tidak pernah beri peluang kepada NGO berjumpa untuk berbincang, dan sekarang juga berlaku dengan kerajaan baharu,” kata Ketua Sabah Open Space S M Muthu kepada The Malaysian Insight.
“Ada juga ahli politik yang berjanji untuk menghentikan projek merosakkan ini ketika mereka jadi pembangkang. Tetapi apa yang mereka buat dan lakukan sekarang?” tambahnya.
Muthu merujuk kepada pemimpin Warisan yang sekarang nampaknya melupakan bantahan mereka terhadap projek seperti Pembangunan Tanjung Aru Eco dan empangan mega.
Projek tersebut pada pentadbiran kerajaan baharu Sabah sedang disemak semula atau statusnya tidak diketahui.
Tetapi, wujud petunjuk yang kemungkinan besar kerajaan diterajui Warisan akan meneruskan projek tersebut dengan alasan ia mewujudkan peluang pekerjaan dan untuk menangani masalah kekurangan bekalan air negeri itu.
Projek Tanjung Aru sebelum ini dijanji akan dibatal sekiranya Warisan menang pada PRU14.
Tetapi pada 4 Julai tahun lepas, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal menjelaskan projek tersebut tidak akan dibatalkan, sebaliknya akan disemak semula dan memberi petunjuk projek tersebut akan dikecilkan skalanya.
Projek Tanjung Aru adalah projek gergasi untuk mengubah pusat tumpuan pelancong di Kota Kinabalu, Sabah itu. Ia dinilai pada harga RM7.1 bilion, dengan tambahan peruntukan RM1.83 bilion hanya untuk projek tambakan laut di pesisir pantai Tanjung Aru sahaja.
Projek mega kedua yang penuh kontroversi pada masa kini adalah empangan.
Di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, projek empangan itu terletak di Kaiduan, Penampang.
Selepas kejatuhan BN pada 9 Mei lalu, pentadbiran baharu mencadangkan tapak baharu.
Menteri bertanggungjawab Peter Anthony pada 6 Ogos tahun lepas mengumumkan projek itu akan dilaksanakan di Kampung Bisuang, Papar dengan kos RM2 bilion.
Tetapi, pada 8 November tahun lepas, Anthony berkata kerajaan masih belum memutuskan tapak empangan dan mencadangkan Kampung Mandalipau sebagai tapak projek empangan tersebut.
Senator Adrian Lasimbang (DAP) bersetuju dengan Muthu, percaya yang kerajaan negeri sedang melakukan rancangan belakang tabir walaupun butiran projek tersebut sepatutnya didedahkan kepada awam.
“Kerajaan tak berbincang dengan kami pun dalam kerajaan yang tidak gemar dengan empangan tersebut, apatah lagi berbincang dengan NGO dan komuniti?
“Saya rasa yang kerajaan akan kembali kepada rancangan asal untuk membina empangan di Mandalipau, tadahan air Sungai Papar,” kata Lasimbang.
Memandangkan projek tersebut masih “dirahsiakan”, Lasimbang berkata tidak wujud perdebatan tentangnya kerana tiada maklumat baharu didedahkan.
Sementara itu, seorang pemimpin Warisan dan menteri Sabah yang tidak mahu dinamakan berkata sebab mengapa kerajaan menutup pintu perbincangan dengan NGO adalah kerana mereka tidak bersatu dalam pendirian.
“Ada NGO yang kata mereka mahu ini, NGO lain pula kata benda lain.
“Mereka beritahu kerajaan tak boleh buat itu ini. Apa kemajuan yang kita boleh bawa jika mereka tak benarkan kita buat semua benda?”. – 10 Januari, 2019.
Komen