Tiada lagi 'wang mudah' bagi pemandu Uber, GrabCar


Low Han Shaun

Alternatif pengangkutan awam yang disediakan Uber dan GrabCar semakin menjadi pilihan pengguna disebabkan faktor kadar tambang lebih murah dan keselesaan. – Gambar AFP, 3 April, 2017.

APABILA penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan GrabCar pertama kali muncul di Malaysia, idea ia mampu menjana pendapatan lumayan tanpa perlu melabur untuk membeli kereta baharu, menarik minat ramai rakyat berpendapatan sederhana.

Uber mula bertapak di Malaysia pada Januari 2014 dan kini boleh didapati di 12 bandar utama, termasuk Langkawi, Alor Star dan Miri, pertambahan terkini.

Sementara GrabCar, bermula sejak 2012 dan mempunyai 710,000 pemandu yang beroperasi di Asia Tenggara.

Kurang tiga tahun kemudian, industri ini menjadi lebih berdaya saing, pemandunya mula mendapati semakin sukar memperoleh pendapatan memuaskan.

Mohamad Syahrin Abdul Aziz dari Setiawangsa, Kuala Lumpur, menjadi pemandu Uber dan GrabCar sepenuh masa sejak dua tahun lalu dan memperoleh pendapatan bulanan kasar sekitar RM3,000 hingga RM6,000.

Bapa tiga anak ini berkata, peningkatan jumlah pemandu, kenaikan kos bahan api dan cabaran berterusan berurusan dengan penumpang cerewet, memaksanya bekerja lebih masa sepanjang minggu untuk mencukupkan saraan keluarga.

“Saya mempunyai tiga anak untuk ditanggung. Anak sulung akan mengambil SPM tahun ini, bongsu menduduki UPSR dan yang tengah berada di tingkatan dua.

“Kini, dengan begitu ramai pemandu, anda perlu bekerja keras kerana perlu bersaing dengan pemandu lain untuk mendapatkan pelanggan.”

Kenaikan kos petrol dan tol juga memberi kesan kepada pendapatan.

Syahrin, yang juga bekerja sebagai jurugambar sambilan, berkata: “Sebagai contoh, jika saya mendapat permintaan dari Kuala Lumpur ke Melaka, ia hanya sekitar RM250 atau RM300 bagi satu perjalanan. Bayangkan, petrol sahaja sudah sekitar RM100 dan tol RM50, jadi bagaimana anda boleh bertahan?

“Dengan harga petrol berubah setiap minggu, saya bimbang, bagaimana jika harga petrol naik? Tambang bagi perkhidmatan ini tidak akan berubah hanya kerana untuk menampung harga petrol yang lebih tinggi.”

Syahrin juga berkongsi pengalaman buruk dengan pelanggan, yang enggan membayar dan melarikan diri selepas dihantar ke destinasi, memaksanya menanggung keseluruhan kos perjalanan.

“Saya pernah ditipu sekali. Penumpang memberikan saya RM100 dan apabila saya berkata tidak mempunyai wang tukar, mereka turun dengan alasan untuk mengambil wang kecil tetapi tidak muncul kembali,” katanya mengeluh.

Penumpang Uber dan GrabCar boleh membayar sama ada melalui kad atau wang tunai, manakala pemandu dibayar mingguan melalui pemindahan bank.

 Bagi Zaiton Alwi (gambar), 56, pendapatan melalui Uber mencukupi untuk menampung kehidupannya dan suami, seorang pemain piano.

“Jika anda kerja keras, anda boleh dapat dan menikmati pendapatan yang baik. Saya memandu dari jam 11 pagi hingga 6 petang dan pada Jumaat, semasa pemandu lelaki ke masjid, saya boleh mendapatkan lebih lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Zaiton mengakui memandu mempunyai risiko, selain “ditipu” penumpang, terdapat banyak laporan berkenaan pemandu teksi agresif dan marah sejak kebelakangan ini.

“Saya pernah dibuli pemandu teksi sebelum ini. Seorang pemandu teksi melemparkan objek seperti bola tenis ke kereta saya semasa mengambil penumpang. Kereta saya tidak rosak tetapi penumpang terkejut. Saya hanya mengabaikan mereka dan meneruskan pemanduan.”

Walaupun Zaiton dapat menerima ancaman seperti itu, pemandu lain berasa ia satu risiko yang tidak perlu diambil.

Pengantin baharu, Lee Kah Hao hanya bekerja sebagai pemandu Uber sambilan selama sebulan dan bermula dengan penuh semangat serta yakin dia akan dapat membuat pendapatan sampingan mencukupi untuk memulakan sebuah keluarga.

Dia mendaftar apabila beliau memutuskan kerjanya sebagai kontraktor syarikat telekomunikasi dan menawarkan perkhidmatan pembaikan elektronik “pintu ke pintu”, tidak cukup untuk menyara keluarganya.

“Saya mendengar daripada rakan yang seorang pemandu Uber boleh menjana pendapatan sehingga RM12,000 sebulan! Saya fikir ia agak lucu, sebenarnya,” kata Lee kepada The Malaysia Insight.

“Tambahan pula, Uber mempunyai masa yang fleksibel dan saya boleh memilih masa untuk bekerja, saya boleh masuk ke dalam talian bila-bila masa.”

Pada bulan pertama, Lee berjaya memperoleh RM1,200 pendapatan kasar, hampir separuh daripada RM2,600 gajinya.

Jumlah itu katanya, lebih daripada cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga seperti bayaran tol, makan di luar dan sebagainya.

Namun, walaupun wang tambahan dan masa yang fleksibel menjadi tarikan, lelaki berusia 32 tahun itu menolak rancangan untuk menjadi pemandu sepenuh masa selepas mempertimbangkan bahaya dan risiko yang perlu diterima.

“Terdapat risiko berkaitan kerja ini (pemandu Uber). Saya hanya tahu baru-baru terdapat bantahan oleh pemandu teksi.

“Pada hari lain apabila mengambil penumpang dari stesen LRT, saya takut akan dipukul pemandu teksi yang menunggu di sana.”

Sebagai sebahagian daripada skim insentif, pemandu GrabCar dibayar setiap jam jika mereka memenuhi kriteria tertentu seperti kadar penerimaan, jam dalam talian dan bilangan perjalanan dalam kawasan perkhidmatan utama mereka.

Bagi pemandu Uber, mereka perlu berada dalam talian dan aplikasi secara automatik akan menunjukkan kawasan tertentu dengan tambang lebih tinggi. – 3 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen