PIHAK Berkuasa Palestin (PA) berkata semalam, ia mengundurkan kakitangannya daripada pos sempadan dengan Mesir di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza bagi membantah “amalan kejam” oleh musuhnya Hamas.
“Keputusan itu dibuat susulan perkembangan terbaru dan amalan kejam di Semenanjung Gaza,” kata bahagian hal ehwal awam PA dalam satu kenyataan, dipetik agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Fatah mendakwa Hamas memanggil, menahan dan mendera kakitangannya, menyebabkannya merumuskan kehadiran mereka sia-sia, kata kenyataan itu.
Pergerakan Islam Hamas merampas kawalan di Gaza pada 2007 dalam peperangan dengan parti Fatah, pimpinan Presiden Mahmoud Abbas.
Namun PA mengambil alih kawalan di Rafah pada November 2017 sebagai sebahagian perjanjian yang menyaksikan Mesir membuka semula sempadan yang ditutup sepenuhnya bermula Ogos tahun sama, ditutup selama bertahun sebelum itu.
“Sejak kami mengambil alih lintasan sempadan Rafah, Hamas menghalang tugas kru kami di sana,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Mesir menjadikan pembukaan semula Rafah, satu-satunya lintasan darat dari Semenanjung Gaza ke wilayah bukan Palestin melepasi dua pos Israel, disyaratkan kepada PA untuk menguruskannya.
Jurucakap Hamas berkata keputusan PA berundur adalah langkah baharu oleh Mahmoud Abbas dalam memisahkan Tebing Barat dari Semenanjung Gaza.
PA berpusat di Ramallah dan hanya mentadbir sebahagian Tebing Barat dijajah Israel, yang dipisahkan daripada Semenanjung Gaza oleh wilayah Israel diiktiraf antarabangsa.
Akhir Disember lalu, jurucakap Fatah menuduh Hamas melakukan penahanan besar-besaran anggotanya di Semenanjung Gaza namun pentadbir Gaza itu menafikannya.
Beberapa cubaan menyatukan Fatah dan Hamas gagal sejak sekian lama. – AFP, 7 Januari, 2019.
Komen