PASUKAN keselamatan Nigeria menahan dua wartawan semalam berhubung liputan mereka tentang kumpulan militan Boko Haram, kata sumber di akhbar berkenaan.
Pasukan polis risikan, tentera dan pertahanan awam menyerbu pejabat Daily Trust di utara bandar Maiduguri dan menahan pengarah wilayah utaranya, Uthman Abubakar dan wartawan Ibrahim Sawab.
Pasukan itu turut merampas komputer riba dan telefon bimbit kedua-dua wartawan berkenaan, kata sumber di ibu pejabat akhbar itu di ibu kota Abuja.
“Serbuan itu respons kepada liputan berita kami hari ini tentang persediaan tentera untuk mengambil semula bandar Baga yang ditawan Boko Haram minggu lalu,” kata sumber.
“Mereka datang mencari wartawan kami Hamza Idris yang menulis berita itu tetapi menahan dua wartawan berkenaan apabila mereka tidak dapat menemui Hamza,” kata seorang sumber lain.
Polis bersenjata menyita pejabat berkenaan.
Lebih 20 tentera bersenjata turut menyerbu ibu pejabat Daily Trust di Abuja petang semalam.
“Tentera bersenjata menyerbu pejabat kami petang ini.
“Ia berterusan daripada kekerasan yang bermula di pejabat kami di Maiduguri. Mereka menyerbu ke bilik berita di tingkat tiga dan merampas komputer dan komputer riba sebelum mengarahkan semua orang mengosongkan bangunan.
“Mereka tutup bangunan itu. Ini bermakna akhbar kami tidak akan diterbitkan esok, ini kali pertama dalam tempoh 20 tahun,” kata sumber.
Menurut sumber, operasi sama berlaku di pejabat Lagos Daily Trust pada masa sama.
The Daily Trust melaporkan pada 31 Disember bahawa militan Boko Haram menawan enam kawasan di utara Borno termasuk Baga, bertentangan dengan kenyataan tentera bahawa kumpulan pengganas itu tidak mengawal mana-mana kawasan di wilayah itu. – AFP, 7 Januari, 2019.
Komen