SEORANG perempuan Arab Saudi yang ditahan di lapangan terbang Bangkok berkata beliau akan dibunuh jika dihantar pulang oleh imigresen Thailand yang mengesahkan remaja 18 tahun itu tidak dibenarkan masuk ke negara itu, semalam.
Insiden itu berlaku ketika Arab Saudi dikecam berhubung siasatannya dan cara kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi dikendalikan tahun lalu.
Rahaf Mohammed al-Qunun berkata beliau ditahan oleh pegawai Arab Saudi dan Kuwait ketika tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan dokumen perjalanannya dirampas.
Dakwaannya itu disokong oleh badan pemantau hak asasi manusia, Human Rights Watch.
“Mereka ambil pasport saya,” katanya dan berkata muhrimnya melaporkan beliau ke Thailand “tanpa kebenaran muhrim”.
Qunun berkata beliau cuba melarikan diri daripada keluarganya yang menderanya secara fizikal dan psikologi.
“Keluarga saya tegas dan mengurung saya di dalam bilik selama enam bulan, hanya kerana saya potong rambut,” katanya, menambah beliau pasti keluarga akan memenjarakannya jika dihantar pula.
“Saya pasti 100% mereka akan bunuh saya sebaik saja saya keluar dari penjara Arab Saudi,” katanya.
Qunun dihalang memasuki Thailand ketika tiba dari Kuwait semalam, kata ketua imigresen Thailand, Surachate Hakparn.
“Beliau tidak ada dokumen lengkap seperti tiket pulang atau wang,” katanya, menambah Rahaf pada masa ini berada di hotel lapangan terbang.
“Beliau lari daripada keluarganya kerana tidak mahu dikahwinkan dan beliau bimbang akan berdepan masalah jika pulang ke Arab Saudi. Kami tempatkan pegawai untuk menjaganya pada masa ini,” katanya. – AFP, 7 Januari, 2019.
Komen