PERDANA Menteri Najib Razak berkata kerajaan persekutuan tidak akan membenarkan projek yang merugikan rakyat.
Beliau berkata demikian merujuk kepada Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang yang dicadangkan kerajaan negeri Pakatan Harapan membabitkan penambakan 1,800 hektar di selatan pulau itu.
Projek berkenaan adalah untuk menambak tiga pulau buatan manusia yang ditentang oleh nelayan di Pulau Pinang, yang mengatakan projek itu akan memberi kesan terhadap punca pendapatan mereka.
Najib yang hadir pada Jamuan Rakyat bersama masyarakat tempatan di Balik Pulau berkata, projek penambakan mestilah tidak membawa kesan negatif kepada rakyat atau membawa kerugian besar kepada mereka.
“Terdapat 1,500 nelayan (yang akan terjejas). Ia umpama menabur pasir dalam periuk nasi mereka. Jadi projek itu tidak wajar diteruskan.
“Projek itu mestilah mesra alam. Sekiranya terdapat alternatif lain, kita perlu melihatnya dan jimatkan perbelanjaan.
“Jika kepentingan rakyat terjejas, kita tidak boleh sokong projek ini,” katanya kepada hadirin.
Projek penambakan itu merupakan salah satu daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang RM27 bilion.
Kenyataan Najib suslan daripada kritikan pengerusi Pakatan Harapan yang juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata pakatan pembangkang akan membuang projek Barisan Nasional yang tidak perlu untuk mengatasi hutang negara.
Dr Mahathir menyebut beberapa projek pengangkutan utama oleh pentadbiran Najib seperti projek bernilai RM55 bilion East Coast Rail Link (ECRL) dan Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR) bernilai RM60 billion.
Najib berkata beliau tidak mahu pendirian kerajaan persekutuan disalahertikan.
“Saya tidak mahu ia dianggap semua ini kerana politik, kita tolak rancangan mereka kerana mereka pembangkang. Sekiranya benar, kita tidak akan bawa projek ke Pulau Pinang.
“Pendirian kami ialah sebarang projek tidak boleh membawa kerugian kepada rakyat tempatan,” katanya.– 26 Ogos, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan