SEKURANG-KURANGNYA 30 maut selepas sebuah lombong emas runtuh di Afghanistan pada Ahad, kata pegawai, tragedi terbaru di negara kancah perang itu.
Tujuh lagi orang cedera dalam kejadian di daerah Kohistan, Badakhshan, kata Gabenor Mohammad Rustam Raghi kepada AFP.
Penduduk menggali lubang sedalam 60 meter di tebing sungai untuk melombong emas. Mereka berada di dalamnya ketika tebing runtuh.
“Penduduk menggunakan penggali untuk menggali lubang besar di tepi sungai ketika ia runtuh, memerangkap berpuluh pekerja,” kata Raghi.
“Sekurang-kurangnya 30 maut dan tujuh cedera.”
Tidak dapat dipastikan mengapa ia runtuh, tetapi jurucakap gabenor Nik Mohammad Nazari memberitahu AFP pelombong bukan profesional.
“Penduduk sudah terlibat dalam perniagaan itu berdekad lamanya tanpa kawalan kerajaan,” kata Nazari.
“Kami sudah menghantar pasukan menyelamat ke kawasan itu, tetapi penduduk sudah mula memindahkan mayat dari kawasan kejadian.”
Badakhsan adalah kawasan pendalaman di pergunungan utara Afghanistan bersempadan dengan Tajikistan, China dan Pakistan.
Kawasan itu berisiko berdepan tanah runtuh terutama ketika musim sejuk apabila salji lebat melanda.
Perlombongan haram adalah aktiviti biasa di Afghanistan yang kaya sumber, dengan Taliban bergantung kepadanya untuk pendapatan mereka.
Tetapi banyak sumber mineral negara itu masih belum diteroka kerana konflik berterusan serta ketiadaan peraturan yang menghalang pelombong luar masuk ke negara itu. – AFP, 6 Januari, 2019.
Komen