PENUNJUK perasaan “Jaket Kuning” kembali menguasai jalan-jalan di Perancis hujung minggu ini dan turut bertempur dengan polis di beberapa bandaraya menuju bangunan kementerian kerajaan di Paris dengan bantuan sebuah trak jengkaut.
Kementerian dalam negeri Perancis menganggarkan jumlah penunjuk perasaan yang turun ke jalan raya pada hari Sabtu sebanyak 50,000 orang, berbanding 32,000 pada 29 Disember lalu apabila pergerakan itu kelihatan semakin mnengendur setelah beberapa siri bantahan dijalankan pada setiap hari Sabtu beberapa minggu sejak pertengahan November.
Jurucakap kerajaan Benjamin Griveaux, yang dipindahkan dari kementeriannya di pusat bandar Paris apabila beberapa penunjuk perasaan berjaket kuning menghancurkan pintu kayu besar kompleks kementerian itu, mengecam perbuatan tersebut dengan menyifatkannya sebagai “serangan yang tidak dapat diterima terhadap Republik”.
“Beberapa penunjuk perasaan berjaket kuning dan beberapa orang lagi yang berpakaian serba hitam ... Mengawal sebuah kenderaan pembinaan yang berada di jalan berdekatan dan menghancurkan pintu masuk ke kementerian,” katanya kepada AFP.
Mereka sempat memasuki kawasan halaman bangunan kementerian itu dan memecahkan dua buah kereta, dan beberapa cermin tingkap dan kemudian melarikan diri, katanya, di samping turut menambah bahawa pihak polis cuba mengenal pasti individu terlibat melalui rakaman video keselamatan.
Presiden Emmanuel Macron tidak secara khusus merujuk kejadian itu, namun mengutuk kejadian yang dianggap satu lagi tindakan “keganasan yang melampau” terhadap “Republik, pegawai-pegawainya, para perwakilan dan simbol-simbolnya”. – AFP, 6 Januari, 2019.
Komen