PERMOHONAN semakan kehakiman ke atas keputusan menyekat bekas ahli Parlimen Cameron Highland C Sivarraajh daripada bertanding dan mengundi selama lima tahun akan didengar esok.
Peguam Sivarraajh, Vasanthi ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata permohonan tersebut akan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 9 pagi.
“Esok adalah pendengaran untuk kebenaran semakan kehakiman. Esok baru kita tahu sama ada mahkamah beri kita kebenaran untuk membuat semakan kehakiman atau tidak,” katanya.
Presiden MIC, S Vigneswaran pada minggu lalu berkata MIC akan membuat semakan itu kerana berpendapat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak wajar membuat keputusan berkenaan.
Menurut Vigneswaran, SPR membuat tafsiran tidak betul dengan mengaitkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Sivarrajh di kerusi Cameron Highlands berhubung kesalahan rasuah.
Menurut Vigneswaran, dalam keputusan petisyen tersebut, hakim tidak menamakan Sivarraajh atau pihak lain di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebagai individu yang mengamalkan rasuah.
“Tindakan SPR menghilangkan kelayakan Sivarraajh ini melangkaui kuasa kehakiman dengan menggunakan terjemahan dan perincian sendiri.
“Tanpa arahan jelas daripada mahkamah, bagaimana SPR, yang bukan merupakan sebahagian daripada prosiding itu, membuat keputusan?
“Saya tidak tahu sama ada mereka mematuhi undang-undang atau mereka menetapkan undang-undang?” katanya.
Dalam keputusan petisyen pilihan raya terhadap Sivarraajh pada November lalu, hakim Azizah Nawawi memutuskan pengundi Orang Asli di Parlimen Cameron Highlands dirasuah untuk mengundi BN.
Tindakan memberi rasuah itu dipercayai dilakukan sama ada oleh Sivarraajh, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail atau ejen mereka.
Bagaimanapun, Azizah hanya mendapati berlaku amalan rasuah, dan tidak menemui bukti langsung yang mengaitkan pemimpin MIC kepada rasuah berkenaan.
Azizah kemudian mengarahkan kerusi Cameron Higlands dikosongkan. Susulan itu tiada rayuan diterima dan SPR menetapkan pilihan raya kecil (PRK) di kerusi berkenaan diadakan pada 26 Jan.
Sementara itu, Sivarraajh ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Ya esok,” katanya ringkas.
Dalam PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi tersebut melalui pertembungan lima penjuru dengan meraih 10,307 undi, iaitu 597 undi mengatasi calon DAP M Manogaran yang mendapat 9,710 undi.
Cameron Highlands merupakan salah satu daripada dua kerusi parlimen yang dimenangi MIC dalam PRU itu. – 6 Januari, 2019.
Komen