KEMENTERIAN Pendidikan dan Inovasi Sabah sedang menentukan jumlah kanak-kanak tanpa warganegara yang sedang belajar di sekolah negeri itu.
Menteri Daud Yusof berkata kerajaan sudah menetapkan syarat kelayakan mereka belajar di sekolah kerajaan di Sabah.
“Kami sekarang sedang menentukan jumlah (yang layak) kerana ada peraturan sedia ada dan jika ibu bapa boleh mengeluarkan dokumen tersebut, pelajar boleh ke sekolah.
“Buat masa sekarang, kami tidak ada jumlah (sebenar) lagi tetapi setakat dimaklumkan Jabatan Pendidikan, jumlah mereka besar.
“Kami dalam proses tentukan jumlah sebenar sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.
Kementerian Pendidikan Persekutuan membenarkan pelajar tanpa warganegara untuk belajar di sekolah kerajaan bermula 1 Januari tahun ini, mereka juga dibenarkan menduduki peperiksaan awam.
Sebelum itu, Daud juga mendedahkan terdapat 587 sekolah daif di Sabah yang memerlukan tambah baik segera dan mahukan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyelesaikan masalah itu seberapa segera.
Pada hari pertama persekolahan tahun ini, media Sabah melaporkan kes 800 pelajar yang terpaksa belajar di bawah 12 kem sementara di Beluran.
Ia berlaku kerana dua blok bangunan SK Telup musnah dalam kebakaran pada Jun tahun lepas.
Daud juga menjelaskan yang Sabah berdepan masalah terlalu ramai pelajar dalam kelas, situasi itu dijangka bertambah buruk selepas pelajar tanpa warganegara dibenarkan menghadiri sekolah kerajaan tahun ini. – 6 Januari, 2019.
Komen