Pakistan hampar karpet merah sambut putera UAE


Pakistan berdepan krisis aliran tunai negara, UAE menawarkan bantuan AS$3 bilion, Arab Saudi AS$6 bilion dan berbilion lagi ditawarkan China sebagai pinjaman pembangunan. – Gambar EPA, 6 Januari, 2019.

KARPET merah dihampar untuk Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan di Islamabad hari ini, beberapa minggu selepas negaranya menawarkan bantuan AS$3 bilion untuk memulihkan ekonomi Pakistan.

Dalam satu penghormatan yang jarang dilakukan, Perdana Menteri Imran Khan bertemu Al Nahyan di pangkalan tentera udara Pakistan dan formasi pertunjukan udara menyambut ketibaaan putera itu.

Putera mahkota itu juga diberikan kawalan kehormatan oleh tentera Pakistan.

Emiriah Arab Bersatu adalah rakan dagang terbesar Pakistan di Timur Tengah dan sumber pelaburan utama, kata Kementerian Luar Pakistan dalam kenyataan mengulas lawatan rasmi itu.

Lebih daripada 1.5 juta warga Pakistan bekerja di negara teluk itu dan menghantar pulang jutaan dolar setiap tahun, tambahnya.

Putera mahkota itu kali terakhir melawat Pakistan pada Januari 2007.

Al Nahyan yang juga timbalan ketua pasukan bersenjata UAE “akan mengadakan pertemuan bertentang mata” dengan Khan, kata kenyataan lagi.

Disember lalu, UAE mengumumkan akan memberikan bantuan AS$3 bilion kepada bank pusat Pakistan untuk membantu “menambah baik kecairan” ketika negara itu bergelut dengan krisis menyeimbangkan baki bayaran hutangnya.

Mata wang rupee Pakistan jatuh hampir lima peratus kepada tahap terburuk pada hujung November, selepas enam kali penilaian semula dilakukan bank pusat tahun lepas sahaja.

Pakistan juga berjaya mendapat bantuan AS$6 bilion dari Arab Saudi dan melakukan perjanjian bantuan tunai 12 bulan semasa lawatan Khan ke negara itu pada Oktober.

Islamabad juga menerima berbilion dolar pinjaman China untuk membiayai projek pembinaan infrastruktur mega.

Pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melawat Pakistan pada November untuk membincangkan kemungkinan bantuan tetapi berakhir tanpa persetujuan. – AFP, 6 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen