AMERIKA, bersiap sedialah: penutupan kerajaan AS yang sudah dua minggu berlaku mungkin berlanjutan lebih lama lagi- mungkin selama-lamanya- jika ramalan seorang “nujum” Mexico jadi kenyataan.
Ketika Donald Trump pada Jumaat berkata beliau bersedia menutup separuh kerajaan selagi mana permintaan untuk biaya temboknya tidak ditunaikan, Antonio Vazques- lebih dikenali sebagai “Dukun Agung”- dalam ramalan tahunannya berkata presiden AS itu tidak akan mendapat dana tersebut pada 2019 atau selama-lamanya.
Dengan kad tarot dan memegang mikrofon di janggut putihnya, Vasques berkata: Dia (Trump) tidak akan dapat (duit). Pada Selasa atau Rabu akan wujud masalah yang timbul disebabkan rancangan tembok bangang ini. Tembok ini tidak akan dibina.”
Ramalan itu dikeluarkan pada hari sama Trump berkata beliau “akan melakukan apa sahaja” termasuklah mengekalkan penutupan itu “untuk masa yang sangat lama” bagi mendesak Kongres meluluskan AS$5.6 bilion yang dimintanya untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico.
Vasquez, 69, terkenal di Mexico kerana ramalan tahunannya meliputi politik, selebriti dan sukan.
Tetapi rekod ramalannya tidaklah menakjubkan.
Pada 2016, beliau meramalkan Trump akan kalah pada pilihan raya pusingan pertama. Dan tahun lepas pilihan raya presiden Mexico akan dimenangi calon pemerintah Jose Antonio Meade- yang hanya berada di tempat ketiga pada pilihan raya sebenar.
Bagaimanapun, Vasquez berjaya meramal dengan tepat kekalahan Mexico kepada Jerman pada Piala Dunia tahun lepas.
Dalam satu ramalan lagi pada 2019, Vazquez berkata tauke dadah Mexico Joaquin “El Chapo” Guzman akan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di New York dan meramalkan masalah kesihatan Presiden Mexico yang baharu Andres Manuel Lopez Obrador. – AFP, 6 Januari, 2019.
Komen