Menteri lawat Cameron sebelum tempoh kempen langgar prinsip, kata Bersih


Christopher Rabin

MENTERI Pakatan Harapan yang melawat Cameron Highlands sebelum tempoh berkempen tidak melanggar mana-mana undang-undang, tetapi melanggar prinsip, kata pemantau integriti pilihan raya Bersih 2.0.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih Alexzander Johnson berkata menteri sepatutnya menunggu selepas 26 Januari untuk melawat dan mengadakan program di kawasan Parlimen itu.

Beberapa orang menteri PH termasuklah Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat kawasan itu sejak keputusan pilihan rayanya dibatalkan dan pilihan raya kecil diarahkan diadakan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dijangka mengadakan lawatan esok.

“Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya, ia (salah untuk jentera kerajaan digunakan) selepas penamaan calon tetapi sepatutnya ia patut meliputi tempoh apabila pengumuman pilihan raya dibuat pada November lepas,” kata Alexzander pada sidang media hari ini.

“Secara prinsipnya, salah untuk mereka berbuat begitu dengan memberi tumpuan kepada Cameron Highlands,” katanya.

Kerusi Cameron Highlands dikosongkan selepas mahkamah pilihan raya mendapati Barisan Nasional yang menang kerusi itu pada PRU14 bersalah kerana merasuah penduduk Orang Asli untuk membeli undi mereka.

Pengarah Eksekutif Bersih Yap Swee Seng juga berkata calon tidak lagi dibenarkan terlibat dalam majlis jamuan dan konsert percuma diadakan untuk mereka tanpa mengisytiharkan kos majlis tersebut sebagai perbelanjaan kempen mereka.

“Menurut undang-undang pilihan raya kita, mana-mana aktiviti kempen yang menyokong calon perlu mendapat kelulusan agen pilihan raya kempen aktiviti setiap calon.

“Perbelanjaan kempen aktiviti tersebut perlu dimasukkan dalam laporan perbelanjaan calon dalam tempoh berkempen. Had maksimum boleh dibelanjakan calon adalah RM200,000,” katanya.

Katanya, jika orang lain dibenarkan menganjurkan majlis untuk calon, ia menghancurkan matlamat menetapkan had perbelanjaan kempen calon.

Yap menambah yang tugas rakyat dalam melaporkan unsur keraguan memainkan peranan utama dalam memastikan pilihan raya yang adil dan bersih berlaku.

“Kami membangkitkan soal salah guna sumber kerajaan. Makan malam percuma, konsert percuma dan kami berjaya hentikan (kempen) seperti pesta makan durian percuma di (PRK) Sungai Kandis,” katanya.

“Selepas kami membangkitkan ia adalah kesalahan pilihan raya, mereka tangguh pesta durian percuma selepas pengundian. Jika mereka teruskan, ia sangat jelas untuk memancing pengundi,” katanya. – 6 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen