Sabah tak perlukan Bersatu, kata Shafie


Jason Santos

Mohd Shafie Apdal menghadiri Rumah Terbuka Krismas anjuran Warisan hari ini, beliau turut menyeru penduduk Sabah menolak ekstremis dan pelampau agama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 Januari, 2019.

WARISAN tidak menyambut baik hasrat Bersatu untuk meluaskan sayapnya di Sabah, kata Mohd Shafie Apdal.

Ketua menteri Sabah itu berkata lebih baik partinya yang memberi tumpuan bertapa di Sabah, dan Bersatu terus mengukuhkan kedudukannya di Semenanjung Malaysia.

“Saya sudah beritahu mereka pendirian kami sebelum pilihan raya umum lagi.

“Ketika itu Bersatu dengar kata saya dan saya berharap mereka akan terus berbuat begitu sekarang,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Rumah Terbuka Krismas Warisan hari ini.

Presiden Warisan itu berkata demikian ketika mengulas khabar wujudnya rundingan antara partinya dan Bersatu yang merancang masuk ke Sabah.

Hasrat itu timbul selepas beberapa bekas ahli Umno yang mahu membawa parti dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad itu ke Negeri Bawah Bayu itu.

Shafie berkata Warisan adalah parti mesra Pakatan Harapan, dan mustahak kesepakataan antara negeri dan Putrajaya terus diperkukuh berbanding menubuhkan cawangan Bersatu di Sabah.

Ketua menteri itu juga pada sambutan rumah terbuka itu menyeru supaya penduduk Sabah menolak semua jenis ekstremis dan pelampau agama.

Beliau turut menempelak pendirian PAS Tawau terhadap sambutan Krismas dan Tahun Baru.

“Kita tak perlu menerima pandangan PAS yang cuba menggugat perpaduan kita.

“Penduduk Sabah adalah pelbagai kaum dan agama, dan kerana itu kita perlu menolak sikap tidak toleransi mereka,” katanya.

PAS Tawau mengetuai kumpulan mendakwa mewakili orang Islam di daerah itu mengeluarkan memorandum membantah sambutan Krismas dan Tahub Baru serta membuat laporan polis Disember lepas.

Memorandum itu turut melibatkan Warisan, tetapi dinafikan parti berkenaan.

Ketua PAS Tawau Mohamad Husain sudah memohon maaf kerana melibatkan Warisan dan PKR Tawau dalam memorandum tersebut. – 6 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen