Mangsa korban ribut, tanah runtuh meningkat 126 orang di Filipina


Kira-kira 20 taufan dan badai melanda Filipina setiap tahun, membunuh ratusan bahkan ribuan orang. – Gambar EPA, 6 Januari, 2019.

JUMLAH kematian akibat ribut yang melanda Filipina sejurus selepas Krismas meningkat kepada 126 orang, kata pihak berkuasa pada hari Ahad, di samping turut menambah bahawa tanah runtuh disebabkan hujan lebat merupakan punca utama.

Ribut melanda tengah dan timur pulau-pulau Filipina pada 29 Disember lalu  mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh. Lebih 100 orang meninggal dunia di kawasan bukit bukau Bicol di tenggara Manila, kata pegawai bencana serantau.

Walaupun rantau Bicol sering dilanda taufan maut, masih ramai yang gagal mengambil langkah berjaga-jaga kerana ribut itu dilihat tidak cukup kuat untuk dinilai sebagai taufan di bawah sistem peringatan ribut kerajaan, kata pegawai pertahanan awam.

Pihak berkuasa juga berkata ramai penduduk enggan meninggalkan rumah mereka semasa cuti Krismas.

“Dalam dua hari sahaja, hujan lebat Usman yang berukuran satu bulan di rantau Bicol turun,” kata jurucakapnya Edgar Posadas menggunakan nama tempatan untuk ribut yang melemah di kawasan tekanan rendah.

“Operasi carian dan penyelamatan kami masih berjalan tetapi lumpur dan tanah yang tidak stabil merupakan satu cabaran.”

Jumlah korban maut dijangka terus meningkat dengan 26 orang dilaporkan masih hilang, kata Posadas.

Lebih 152,000 orang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing akibat ribut itu dan seramai 75 orang cedera, menurut agensi bencana nasional.

Presiden Rodrigo Duterte melawat kawasan yang dilanda ribut pada hari Jumaat dan menggesa para pegawai untuk membina pusat pemindahan daripada menggunakan sekolah sebagai tempat perlindungan.

Kira-kira 20 taufan dan badai melanda Filipina setiap tahun, membunuh ratusan orang.

Taufan paling dahsyat pada tahun-tahun kebelakangan ini adalah Taufan Super  Haiyan yang menyebabkan kematian lebih daripada 7,360 orang atau hilang di Filipina pusat pada tahun 2013. – AFP, 6 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen