Kelengkapan sekolah, telekung untuk mangsa Tsunami


Kebimbangan mengenai krisis kesihatan awam membawa beberapa organisasi antarabangsa untuk terlibat dalam misi kemanusian di Indonesia. – Gambar EPA, 6 Januari, 2018.

KELENGKAPAN sekolah dan telekung wanita adalah antara  barang keperluan yang dibeli oleh Pasukan Sukarelawan Global Peace Mission (GPM) untuk disumbangkan kepada mangsa Tsunami Selat Sunda.

Kesemua barang keperluan itu dibeli di Pasar Rau di Banten dan akan diagih kepada penduduk di Sumur dan Labuan iaitu dua daerah yang terjejas teruk akibat Tsunami 22 Disember lepas.

GPM ke Indonesia semalam untuk misi kemanusiaan bagi mengagihkan bantuan berupa barang  keperluan kepada mangsa tsunami susulan runtuhan rekahan gunung berapi Anak Krakatau.

Ketua Misi GPM Malaysia, Shahrir Azfar Saleh berkata bantuan-bantuan persekolahan itu akan diberi kepada 108 murid sekolah rendah.

“Kami juga akan membeli kasut, kelengkapan alat tulis serta barang keperluan mandi. Saya difahamkan mereka ini tidak mempunyai kelengkapan keperluan asas,” katanya kepada Bernama selepas membeli kelengkapan keperluan di Pasar Rau.

Beliau berkata kesemua barang keperluan itu dijangka diagih di kedua-dua daerah terlibat esok.

“Keadaan di kedua-dua daerah itu dilapor selamat untuk kami masuk bagi memberi bantuan keperluan asas,” katanya.

Misi itu dijangka berlangsung sehingga 24 Januari dan orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui talian www.billplz.com/peduliselatsunda atau deposit ke Bank Global Peace Mission di akaun Maybank Islamic (5642-2161-1602); Bank Islam (1402-30100-29224); dan Affin Islamic Bank (1051-9000-2871).

Tsunami yang melanda Selat Sunda pada 22 Dis lepas berlaku ekoran pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau yang diikuti gombang air pasang serta gelombang kuat.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan sehingga kini lebih 400 orang maut manakala 30,000 hilang tempat tinggal. – Bernama, 6 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen