Ahli Kongres AS usul naik cukai orang kaya sebanyak 70%


Alexandria Ocasio-Cortez berkata sistem cukai yang sama pernah dilakukan pada 1960-an. – Gambar EPA, 6 Januari, 2019.

AHLI Kongres wanita termuda Amerika Syarikat (AS), Alexandria Ocasio-Cortez mencadangkan pelaksanaan cukai terhadap golongan orang kaya pada kadar 60 hingga 70%.

“Rakyat perlu membayar cukai secara adil,” katanya pada program ‘60 Minutes’ yang disiarkan syarikat penyiaran CBS.

Usul itu merupakan sebahagian pelan wanita berusia 29 tahun itu yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Hijau Baharu’ untuk menghapuskan pencemaran karbon menjelang 2030.

Ahli politik Demokratik itu mencadangkan agar cukai dikenakan terhadap golongan kaya sebanyak 70% bagi menjayakan pelan tersebut.

Beliau merujuk kepada sistem percukaian progresif yang diguakan pada 1960-an sebelum Ronald Reagan menjadi presiden apabila golongan kaya perlu membayar cukai sebanyak 70%.

Margin kadar cukai pada hari ini adalah 37% selepas pelaksanaan pembaharuan fiskal oleh Presiden Donald Trump. Sebelum ini kadar cukai itu adalah 39.6%.

Walaupun dijangka sukar untuk diluluskan, usul tersebut sudah mula mendapat sokongan ramai termasuk laporan media tempatan.

Analisis Washington Post mendapati jika setiap 16,000 rakyat AS yang memperoleh pendapatan lebih AS$10 juta membayar cukai pendapatan sebanyak 70%, kerajaan persekutuan akan memperoleh hasil sebanyak AS$72 bilion setahun.

Namun realitinya, angka itu mungkin jauh lebih rendah kerana individu yang berkelayakan akan mencari jalan untuk mengelak dikenakan cukai tersebut. – AFP, 6 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen