Tukang jahit jalanan kongsi kisah hidup sebagai pelarian


Jason Santos

Tukang jahit jalanan Filipina di Kota Kinabalu bekerja hingga lewat malam untuk menyiapkan tempahan pelanggan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 Januari, 2019.

KETIKA pelancong berkunjung Pasar Kraftangan Kota Kinabalu untuk membeli cenderahati, penduduk tempatan pula datang ke sana apabila mahu menjahit atau memperbaiki pakaian mereka dengan segera.

Di sini, Mell Palso dari generasi ketiga pelarian Filipina, duduk di hadapan mesin jahit kaki dan menjahit menggunakan benang pelbagai warna.

Lelaki berusia 27 tahun itu memilih benang yang sesuai dengan warna seluar sekolah yang dibawa oleh seorang kanak-kanak lelaki bersama bapanya.

Palso kemudiannya memasukkan benang pada pin mesin sebelum memijak bahagian bawah mesin jahit untuk memulakan proses jahitan.

10 minit kemudian, seluar itu selesai dipendekkan dan sepadan untuk dipakai oleh kanak-kanak sekolah tersebut.

Sambil menunggu pelanggan seterusnya, Palso meluangkan masa bersembang dengan tukang jahit jalanan lain di pasar itu.

“Pada hari yang bagus seperti ini, terutamanya apabila musim sekolah bermula, saya boleh meraih pendapatan RM200. Tetapi ada juga masa kami langsung tidak mendapat apa-apa,” kata bapa empat orang anak itu ketika ditemui pada awal tahun baharu lalu.

Penduduk tempatan gemar mendapatkan khidmat tukang jahit Filipina untuk menjahit atau memperbaiki pakaian mereka dengan segera. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 Januari, 2019.

Katanya pendapatan kecil setiap bulan sebagai tukang jahit jalanan sudah cukup untuk menampung keluarga kecilnya.

Baginya setiap hari yang dilalui amat panjang iaitu bekerja dari 9 pagi hingga tengah malam.

Waktu panjang dan lokasi pasar memberi peluang kepada Palso untuk menyaksikan perubahan Kota Kinabalu sejak 10 tahun lalu termasuk kemunculan bangunan baharu, perubahan lanskap dan pembangunan lain di bandar itu.

Talian hayat pelarian

Ibu negeri Sabah itu bukan sekadar menjadi ‘rumah’ untuk beberapa generasi rakyat Filipina seperti Palso tetapi juga merupakan tapak perniagaan tukang jahit jalanan.

Menurut Palso, perniagaan tukang jahit jalanan bermula di Kota Kinabalu pada 1983 di bangunan pasar yang tujuan asal pembinaannya untuk menyediakan tempat bagi pelarian Filipina berlindung ekoran keganasan yang berlaku di tanah air mereka.

Persatuan Peniaga Kraftangan Sabah Ruhil Sailadjan berkata terdapat 19 tukang jahit menjalankan perniagaan di pasar itu.

Tukang jahit Filipina sanggup bekerja dari 9 pagi hingga lewat malam demi menampung keperluan keluarga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 Januari, 2019

“Premis ini dibina di bawah kerjasama antara kerajaan negeri dan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

“Ia bertujuan membenarkan rakyat Filipina yang menjadi pelarian untuk membuka perniagaan dan menjalani kehidupan sebagai suaka politik di Sabah,” kata Ruhil, 57.

Kumpulan asal tukang jahit jalanan merupakan pakar jahit dari Filipina, katanya.

Disebabkan itu sahaja kepakaran yang ada, mereka dibenarkan untuk menjalankan perniagaan jahit secara kecil-kecilan di luar pasar itu.  – 6 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen