Hamas tahan 5 lelaki serang pusat media Palestin


Serangan lima lelaki bersenjata ke atas pusat media Pihak Berkuasa Palestin di Gaza semalam menyebabkan kemusnahan harta bernilai ribuan dolar. – Gambar AFP, 6 Januari, 2019.

PIHAK berkuasa Hamas menahan lima lelaki bersenjata yang menyerbu ibu pejabat media Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Semenanjung Gaza semalam.

Dalam kejadian itu, lima lelaki tersebut menyerang pejabat Perbadanan Penyiaran Palestin di Gaza City dan memusnahkan peralatan yang bernilai ribuan dolar.

Pusat media itu yang menempatkan syarikat televisyen Palestin dan radio  Voice of Palestine dibiayai oleh kerajaan Palestin di Tebing Barat.

Pegawai dan staf PA pada awalnya menyalahkan Hamas atas kejadian itu tetapi pergerakan Islam tersebut menuding jari kepada pekerja PA yang tidak berpuas hati dengan kerajaan Fatah yang berkuasa di Tebing Barat.

Kesemua lima suspek yang ditahan merupakan staf PA yang gaji  mereka dipotong baru-baru ini, kata kementerian dalam negeri Hamas.

“Seorang daripada mereka merupakan staf syarikat televisyen Palestin dan gajinya dipotong pada bulan lalu.”

Hamas menguasai Gaza daripada PA pada 2007, setahun selepas memenangi pilihan raya umum yang tidak diiktiraf oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa.

Walaupun kehilangan kuasa di Gaza, kerajaan PA terus membayar gaji puluhan ribu penjawat awam di wilayah tersebut.

Namun PA mengurangkan pembayaran gaji sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran masalah kewangan yang dihadapi oleh Palestin. – AFP, 6 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen